Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Royalti: PAS sokong Ahmad Said
Diterbitkan:  Apr 22, 2008 5:15 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) menyokong penuh permintaan menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said supaya royalti minyak dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk pembangunan yang lebih tersusun.

salahuddin ayub 01 Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata royalti minyak adalah melibatkan perjanjian antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri sejak 1975, tetapi dibatalkan apabila PAS menang Terengganu pada 1999.

"DPP berpandangan, jika kerajaan mahu meningkatkan integriti pentadbiran, perkara ini mesti diberikan perhatian dan hak kerajaan negeri mesti dikembalikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika kerajaan bersedia mengakui kesilapan memecat Tun Salleh Abas dahulu, "maka apa salahnya jika kerajaan mengakui kesilapannya merompak wang rakyat, kemudiannya menamakan ia sebagai wang rakyat".

"Semua rakyat Terengganu, termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) sedar bahawa tindakan kerajaan pusat pada tahun 2000 itu kerana dendam politik.

"Datuk Seri Idris Jusoh juga pernah meminta royalti dikembalikan kerana sedar pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM170 juta setahun tidak berupaya menanggung kos pentadbiran, apatah lagi pembangunan," katanya.

Salahuddin berkata, DPP berpandangan royalti minyak bukan sahaja perlu dikembalikan tetapi ditambah kepada 10 peratus, seperti yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.

"Adakah kerana Sabah dan Sarawak menjadi 'talian hayat' politik BN, maka desakan mereka dilayan, sedangkan Terengganu yang benar-benar berhak, dinafikan?

Bersikap negatif

"DPP menyokong permintaan kerajaan BN Terengganu, atas dasar hak, tetapi mengapa kerajaan pusat yang dikuasai BN mengambil sikap negatif terhadap hak rakyat," tegasnya.

Menurutnya, kerajaan pusat tidak sepatutnya membeza-bezakan antara negeri-negeri semata-mata kerana dendam politik.

Salahuddin berkata, pihaknya menolak pendekatan kerajaan pusat menubuhkan dana khas kerajaan persekutuan (DKKP) untuk menyalurkan wang ehsan melalui program pembangunan Terengganu.

Beliau mendakwa, selepas tempoh empat tahun, wang tersebut dibazirkan untuk kepentingan kroni dan anak menantu pemimpin tertinggi BN.

Salahuddin juga mendakwa, projek-projek seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal dan Pulau Wang Man yang bernilai hampir RM1 bilion tidak bermanfaat langsung untuk rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, ia menjadi projek gajah putih yang menjadi simbol pembaziran kerajaan lalu.

Kerana itulah, dakwanya, Sultan Terengganu tidak mahu lagi Idris mengetuai kerajaan negeri Terengganu.

"Terengganu adalah negeri yang miskin dan rakyatnya juga amat miskin. Maka royalti ini akan membolehkan kerajaan negeri merancang pembangunan yang lebih bermanfaat untuk rakyat Terengganu seluruhnya," tegasnya.

ADS