Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat tunjuk sebab untuk Kah Choon
Diterbitkan:  Apr 22, 2008 7:12 PM
Dikemaskini: Apr 23, 2008 2:01 AM

Mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Gerakan memutuskan untuk memberi surat tunjuk sebab kepada Datuk Lee Kah Choon kerana menerima jawatan pengarah dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan pengerusi jawatankuasa eksekutif InvestPenang.

Melalui surat tersebut, Kah Choon yang juga bekas setiausaha parlimen Kementerian Kesihatan, akan diminta menjelaskan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berhubung perkara tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebelum ini, parti tersebut telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya melepaskan semua jawatan dalam majlis daerah dan majlis perbandaran, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di semua negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

"Oleh itu, tindakan Datuk Lee berlanggar prinsip dan semangat dalam arahan yang dikeluarkan oleh pihak parti," katanya.

Arahan tersebut, tambahnya, dibuat berasaskan premis bahawa Gerakan kini perlu memainkan peranan yang berkesan sebagai pembangkang di Pulau Pinang.

"Kita tidak akan mampu melaksanakannya secara objektif sekiranya ahli-ahli kita sendiri memegang jawatan penting dalam pentadbiran tempatan dan negeri," katanya.

Tiada pengalaman

Sehubungan itu, Dr Koh mempersoalkan motif politik ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik bekas timbalan setiausaha agung Gerakan itu memegang kedua-dua jawatan penting tersebut.

"Datuk Lee tidak mempunyai pengalaman dalam mempromosi pelaburan di sektor perindustrian.

"Setakat ini, beliau mempunyai pengalaman sebagai seorang peguam dan setiausaha parlimen Kementerian Kesihatan, yang tiada kaitan dengan industri pembuatan," tambahnya.

Sebagai perbandingannya, Dr Koh berkata, kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini, telah melantik Datuk Kalsom Abdul Rahman sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif InvestPenang.

"Datuk Kalsom merupakan pengerusi SMIDEC (Perbadanan Industri Sederhana Kecil) Malaysia dan juga bekas timbalan ketua setiausaha MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

"Timbalan pengerusi jawatankuasa eksekutif InvestPenang ketika itu adalah Datuk Seri Kelvin Kiew yang merupakan seorang pakar industri yang mempunyai hubungan luar di peringkat antarabangsa.

"Kedua-duanya - Kalsom dan Kelvin - mempunyai pengalaman yang amat luas dalam bidang pelaburan dan langkah mempromosinya," tambah Dr Koh.

Beliau berkata, memandangkan industri pembuatan merupakan sektor ekonomi paling penting di Pulau Pinang, maka tidak sesuai bagi Guan Eng bermain politik sedemikian yang mungkin menjejaskan usaha dan kemampuan negeri itu menarik pelaburan dengan lebih berkesan.

Lee, yang juga bekas ahli parlimen Jelutong, melepaskan semua jawatannya dalam parti selepas Gerakan kalah terus di Pulau Pinang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

ADS