Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden Umno: Ku Li tetap tanding
Diterbitkan:  Apr 26, 2008 8:50 AM
Dikemaskini: 11:43 PM

Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan tetap menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember ini walaupun berlaku peralihan kuasa.

Menurutnya, peralihan kuasa antara perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak ada kena-mengena dengan parti.

tengku razaleigh 02 Oleh itu, kata Tengku Razaleigh, beliau mempunyai hak untuk bertanding jika mendapat cukup pencalonan.

"Saya cuma menawar diri kalau cukup pencalonan dari bahagian untuk Umno, tidak ada kena-mengena dengan kerajaan...

"Saya hendak menawarkan diri untuk berkhidmat, jadi kalau cukup pencalonan, saya akan tawarkan diri," katanya.

Menurut Bernama , bekas menteri kewangan itu memberitahu demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu semalam.

EGM Batu Pahat hari ini

Beliau diminta mengulas mengenai pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib yang diumumkan perdana menteri pada 14 April lalu.

Abdullah bagaimanapun berkata pelan peralihan kuasa itu akan hanya dibincangkan selepas pemilihan parti.

Tengku Razaleigh antara pemimpin Umno yang paling lantang bercakap mengenai prestasi buruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Sebelum ini, beliau menghantar surat kepada semua bahagian Umno menggesa mereka mengadakan mesyuarat luar biasa (EGM) untuk mendesak Umno pusat mengadakan EGM bagi membincangkan perkara tersebut.

Mengikut perlembagaan Umno, parti itu mesti mengadakan perhimpunan agung luar biasa jika lebih separuh daripada 191 bahagian mahu ia diadakan.

Umno Gua Musang merupakan bahagian pertama yang mengadakan EGM dan meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti, termasuk memansuhkan kuota pencalonan untuk bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli majlis tertinggi.

Umno bahagian Batu Pahat, Johor pula mengadakan EGM hari ini, bahagian Cheras esok manakala Bandar Tun Razak pada 1 Mei.

ADS