Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2:34pm Ketua Pemuda PAS Johor menafikan beliau turut mengiringi seorang pelajar menyerah diri ke balai polis semalam berhubung isu ugutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini , Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kluang pada jam 1 tengah hari sewaktu pelajar itu dilaporkan berbuat demikian.

"Saya tidak faham bagaimana saya telah dikaitkan dalam perkara ini bersama-sama dengan pemuda-pemuda PAS Johor," katanya hari ini.

Menurut agensi berita Bernama , yang dipetik Malaysiakini malam tadi, pelajar kolej berumur 19 tahun itu menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan ahli parlimen Bukit Gelugor dalam laman web PAS Johor.

dap karpal singh Beliau yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di ibu balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada 4 petang.

Khairul Faizi menambah, beliau "amat terkejut" apabila dikaitkan dengan isu kontroversi tersebut seperti diberitakan.

Dihubungi hari ini, Khairul Faizi berkata, Pemuda PAS negeri termasuk beliau tidak terlibat dalam laporan polis berhubung kes berkaitan.

Ditanya pihak yang terlibat, beliau berkata "tidak tahu".

"Saya ada bertanya PAS negeri, tetapi PAS negeri juga tidak tahu-menahu tentang soal ini," katanya.

"Kemungkinan PAS (kawasan) Johor Bahru, kerana berita itu dimuatkan di laman web PAS kawasan tersebut."

Manakala yang dipertua PAS kawasan itu Rosli Kemin ketika dihubungi berkata, pihaknya juga tidak terlibat ke balai polis Johor Bahru selatan untuk mengiringi pelajar tersebut menyerah diri kepada polis.

Beliau menjelaskan, beliau bersama tiga pemimpin PAS kawasan menemui naib pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez.

"Saya bersama bendahari (PAS kawasan), ketua penerangan dan ahli jawatankuasa kawasan menemui Norman Fernandez," katanya lagi.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Fernandez mengakui pertemuan pelajar dan bapanya turut disertai beberapa pemimpin PAS kawasan termasuk Rosli di pejabat pemimpin DAP itu kira-kira 4 petang semalam.

Pelajar tersebut telah memohon maaf kepada Karpal dan surat tersebut akan dikirimkan kepada ahli parlimen DAP itu petang ini, kata Fernandez lagi.

Tambahnya, beliau mengesyorkan kepada Karpal agar menarik balik laporan polis tersebut memandang remaja itu masih belajar dan memohon maaf.

"Bagaimanapun, terpulang kepada Karpal untuk berbuat demikian," katanya.

Fernandez, yang juga seorang peguam, berkata beliau memberikan keterangan kepada polis kira-kira setengah jam pagi ini berhubung pertemuan di pejabatnya semalam.

Penjelasan tentang isu tersebut turut dimuatkan di blognya di alamat normanfernandez.blogspot.com

Menurut satu siaran media, Dewan Pemuda PAS negeri akan mengadakan satu sidang akhbar pagi esok di Johor Bahru untuk menjelaskan isu tersebut .

ADS