Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengasas Naza meninggal dunia
Diterbitkan:  May 2, 2008 11:09 AM
Dikemaskini: 8:01 AM

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles, California, pagi semalam.

Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat itu, menerima rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Long Beach sejak Januari tahun ini, kata Konsul Malaysia Ahmad Asmawi kepada Bernama melalui perbualan telefon dari Los Angeles.

Nasimuddin S.M Amin Ahmad berkata isteri Nasimuddin, Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak mereka berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira jam 9 pagi Khamis waktu tempatan.

Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan menguruskan penghantaran jenazah beliau ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam.

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 94 pada jaml 1.40 pagi Sabtu pagi, kata Ahmad.

Kumpulan Naza, yang ditubuhkan pada 1974, mempunyai 14 bahagian perniagaan termasuk perdagangan motor, motosikal, pembuatan, perkhidmatan pengangkutan, peralatan mesin/kelengkapan kejuruteraan, perladangan, pengedaran rokok, kredit dan pajakan, kraf air, hartanah, operasi perhotelan dan agensi insurans.

Kumpulan Naza ialah pemegang francais untuk Ferrari, Kia dari Korea Selatan, Peugeot, Brabus, Hamann dan motosikal Ducati di Malaysia.

Permit import

Ia juga adalah pemegang permit import bagi kenderaan Mercedes Benz dan Mazda.

Pada Ogos 2005, Naza membuka pintunya untuk dewan pameran automotif baru yang menjadi mercu tanda syarikat itu - Naza Auto Mall di Petaling Jaya, Selangor.

Kumpulan itu mempunyai pembangunan hartanah -- TIDI Development Sdn Bhd - dan hotel di Malaysia, dan Los Angeles, termasuk Howard Johnson di Torrance dan Crowne Plaza Hotel di San Pedro, Los Angeles.

Dilahirkan pada 25 Januari 1955, Nasimuddin menerima pendidikan di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Allahyarham memulakan perniagaan automotifnya ketika berumur 21 tahun dengan modal RM80,000 yang dikumpulnya semasa bekerja dengan ayah beliau dalam perniagaan pembinaan.

Dengan modal tersebut, beliau membeli 20 AP dan kemudian berlepas ke Jepun selama tiga bulan. Beliau membawa balik 20 kereta terpakai dari Jepun, dan berjaya menjualnya dalam masa tiga bulan.

Beliau membuka kedai keretanya di Taman Maluri yang menjual 10 hingga 15 unit kereta setiap bulan. Pada 1979, beliau membuka cawangan di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan berjaya menjual 40 hingga 60 kereta sebulan.

Nasimuddin bermula dengan hanya lima orang kakitangan dan kini jumlah mereka meningkatkan kepada kira-kira 4,000 orang.

Beliau memperoleh jutaan pertamanya setahun kemudian dengan memohon Permit Import kerajaan untuk kereta dari Jepun.

Beliau dinyatakan berkata: "Saya sangat meminati kereta sejak remaja lagi. Sebab itulah saya berada dalam perniagaan ini. Perniagaan pembinaan ayah saya bukanlah minat saya."

ADS