Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno Muar, Datuk Mohd Shah Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau cuba menghalang ahli dan penyokong Umno cawangan-cawangan dalam bahagian tersebut daripada menghadiri majlis dialog Melayu yang dihadiri oleh ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Majlis dialog Melayu selepas pilihanraya umum ke-12 itu, dianjurkan oleh sekumpulan ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Muar kelmarin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Shah berkata, beliau tidak terlibat dalam penganjuran majlis tersebut.

Sebaliknya, katanya, beliau sebagai ketua bahagian, hanya memberi nasihat kepada kumpulan tersebut supaya tidak melanggar peraturan parti bagi mengelak tindakan disiplin.

"Siapa saya untuk menghalang mereka untuk mengadakan program tersebut? Saya suka kerana ramai orang datang ke majlis tersebut.

"Tetapi saya tidak terbabit dengan program tersebut kerana saya sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan perhubungan Umno negeri, terpaksa berpegang teguh kepada keputusan untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Mohd Shah berkata, beliau dimaklumkan bahawa progam tersebut antara lain untuk membincangkan peralihan kuasa dan mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan dalam Umno dan kerajaan.

Jumpa ketua cawangan

Katanya, beliau tidak menghadiri majlis majlis tersebut, tetapi gembira kerana dimaklumkan bahawa kira-kira 800 ahli menghadirinya.

"Kalau 80 orang yang datang, bolehlah tuduh saya halang...," katanya.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang AJK Umno Muar, Hassan Sulaiman Ninam Shah bahawa Mohd Shah telah menakut-nakutkan ketua cawangan di bahagian itu supaya tidak menghadiri majlis tersebut.

Hadir sama ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang baru-baru ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti dan ketua Umno bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Hassan mendakwa, orang kuat Mohd Shah telah berjumpa dengan ketua-ketua cawangan terbabit bagi menghalang mereka daripada menghadiri majlis tersebut.

"Banyak ketua cawangan Umno dalam bahagian Muar yang tidak hadir kerana bimbang dikenakan tindakan," katanya kepada Malaysiakini.

Hassan mendakwa, Mohd Shah memberitahu ketua-ketua cawangan Umno berkenaan, jika menghadiri majlis tersebut, nama mereka akan dihantar ke ibu pejabat parti di Kuala Lumpur untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun, menurut Hassan, tindakan tersebut keterlaluan kerana majlis itu mendapat permit polis dan telah dihadiri oleh kira-kira 800 orang dari empat bahagian - Muar, Batu Pahat, Ledang dan Bakri.

ADS