Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 100 orang pemimpin kesatuan pekerja berhimpun di luar pintu masuk utama bangunan parlimen pagi ini ketika wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masuk menyerahkan memorandum berhubung isu gaji minimum dan bayaran COLA.

mtuc parliament protest 070508 05 Presiden MUTC, Syed Shahrir Mohamud menyerahkan memorandum tersebut kepada menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz dan ketua pembangkang Datin Seri Dr Azizah Ismail.

Manakala di luar bangunan Parlimen, anggota polis telah mengarahkan mereka yang berkumpul di situ supaya bersurai.

Sementara itu, ketua polis Sentul, Ahmad Soffian Mad Yassin berkata, permit polis tidak diperlukan untuk menghantar memorandum.

Bagaimanapun, katanya, apabila jumlah mereka yang hadir adalah besar, maka permit polis diperlukan.

mtuc parliament protest 070508 03 Bercakap dalam sidang akhbar di lobi parlimen selepas itu, Syed Shahir berkata, Nazri berjanji akan memberikan memorandum terbabit kepada perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet lain.

"Memorandum serupa diserahkan kepada semua ahli parlimen baik kerajaan mahu pun pembangkang," katanya.

Tiada respons positif

Menurut Syed Shahir lagi, kandungan memorandum tersebut sama dengan yang diberikan kepada perdana menteri pada 18 Jun lalu.

Katanya, memorandum kedua itu dihantar kerana pihaknya tidak mendapat respons positif dari kerajaan mengenai tuntutan tersebut.

mtuc parliament protest 070508 07 "Di kalangan negara-negara Asean hanya Malaysia yang tidak mengamalkan pembayaran gaji minima, sedangkan negara lain telah berbuat demikian," katanya lagi.

Syed Shahir berkata, hujah bahawa pelaksanaan pembayaran gaji minima dan Cola akan menyebabkan kenaikan harga barangan adalah yang lemah.

Katanya, ini kerana bukan kerajaan yang membayar gaji tetapi adalah majikan.

Beliau berkata, ketika ini kira-kira 1.67 juta pekerja mendapat pendapatan bulanan kurang daripada RM700 sebulan - lebih rendah daripada paras kemiskinan iaitu RM900.

"Ini bukan piket tetapi perhimpunan aman pemimpin-pemimpin pekerja untuk mengetahui sikap perdana menteri dan kerajaan terhadap isu pekerja di negara ini.

mtuc parliament protest 070508 02 "Sama ada kami (MTUC) akan buat lagi atau tidak perhimpunan aman yang sama, ia bergantung kepada respons kerajaan. Ini bukan hobi tetapi merupakan satu tanggungjawab.

"Ini bukan mencari kepentingan politik tetapi satu komitmen kepada kaum pekerja di negara ini," katanya lagi.

Kandungan memorandum tersebut turut membantah pindaan akta perhubungan dan akta kesatuan sekerja yang boleh menjejaskan kepentingan pekerja dan kesatuan sekerja.

Ia turut menyatakan kesediaan MTUC mengadakan perbincangan dengan perdana menteri bagi membolehkan kesatuan sekerja itu menjelaskan cadangan dan usul MTUC.

ADS