Menurutnya, dengan cara itu, harga bahan api di Malaysia akan mencerminkan harga pasaran global, demikain menurut laporan Bernama.Tindakan berani
Sementara itu, dalam ucaptamanya dalam Rundingan Meja Bulat ke-22 Asia Pasifik di ibunegara hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa komuniti antarabangsa supaya mengambil langkah berani yang belum pernah berlaku untuk memerangi kenaikan melampau harga makanan, minyak dan komoditi.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, beban kenaikan harga kini yang ditanggung sebahagian besarnya oleh negara membangun dan miskin, boleh dengan mudah melimpah kepada masyarakat maju.
"Protes, demonstrasi dan rusuhan makanan telah tercetus di banyak negara di dunia membangun termasuk di rantau kita.
"Bagaimanapun kebimbangan ini tidak begitu ketara dilihat di dunia negara maju, kecuali berkaitan dengan kenaikan harga bahan api," katanya.
Beliau memberi contoh tindakan berani Jepun dalam menangani kenaikan harga beras, dan mencadangkan langkah yang sama diambil oleh pasaran minyak.
"Untuk mengelakkan tawaran spekulatif, Jepun telah menggantung perdagangan beras dalam pasaran hadapan," katanya.
Bekalan beras
"Kita patut mengkaji langkah sedemikian bagi kemungkinan ia dilaksanakan untuk pasaran minyak, yang merupakan penyumbang penting melonjakkan harga komoditi lain. Kesemua langkah ini akan tentunya memerlukan rundingan dan perjanjian di peringkat antarabangsa," katanya.
Abdullah juga berkata Asean Campur Tiga (10 negara Asean dan China, Jepun serta Korea Selatan) juga boleh memainkan peranan dengan mewujudkan Simpanan Jaminan Makanan Asean memandangkan ia kini tidak mempunyak stok yang cukup bagi menstabilkan secara berkesan harga dan bekalan beras dalam kalangan negara anggota.
"Langkah juga perlu diambil untuk menggerakkan Simpanan Beras Kecemasan Asia Timur yang kini masih di peringkat projek perintis. Ia harus menjadi skim simpanan beras yang berdaya maju yang mendapat komitmen penuh daripada semua negara peserta," katanya.
Abdullah berkara harga beras, makanan ruji penduduk Asia, telah meningkat 76 peratus dalam tempoh lima bulan sejak Disember tahun lalu hingga April tahun ini, sementara harga keseluruhan makanan, meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lepas dan harga minyak meningkat empat kali ganda sejak enam tahun lalu.
"Para penganalisis berkata harga itu sudah pada puncaknya. Pada satu ketika tidak syak lagi ia mesti berlaku. Tetapi buat masa ini ia kekal pada harga yang amat tinggi," katanya.