Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid pula kata dapat air percuma
Diterbitkan:  Jun 5, 2008 9:14 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Isu pemberian 20 meter padu air percuma kepada penduduk Selangor seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri dianggap selesai dan akan diteruskan, kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

khalid ibrahim "Esok, selesailah dan saya rasa, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) akan memasukkannya dalam akaunnya," katanya kepada pemberita.

Beliau ketika diminta mengulas kenyataan Syabas hari ini bahawa perbincangan syarikat itu dengan kerajaan Selangor belum mencapai keputusan untuk membolehkan 20 meter padu air diberi percuma kepada pengguna di negeri itu.

Bermula 1 Jun, seramai 1.5 juta pengguna individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Rakyat dalam kempen pilihanraya umum lalu.

Menurut Bernama , Syabas dalam kenyataannya turut memaklumkan akan mengeluarkan bil air kepada pengguna di negeri itu seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi sehingga ada arahan bertulis daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Mengulas perkara itu, Abdul Khalid berkata: "Ini adalah kerana terdapat persoalan mengenai siapa yang mengeluarkan arahan kepada Syabas memandangkan kita melakukan ini menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)."

KDEB merupakan anak syarikat milik Selangor yang dipertanggung- jawabkan menguruskan penyusunan semula industri air di negeri itu.

ADS