Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said hari ini dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu di Kuala Terengganu.
"Dengan keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Idris meletak jawatan atas kehendak serta tujuan dia dan pada waktu ini saya tidak mahu jawatan penting ini kosong.
"Maka, keputusan yang disampaikan tadi (semasa perjumpaan dengan pemimpin Umno Terengganu) ialah Datuk Ahmad Said yang sekarang Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu," katanya.
Menurut laporan Bernama, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh dan bekas Menteri Besar Terengganu, telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri 29 Mei lalu, selepas tidak dikekalkan menerajui kerajaan negeri.
Peletakan jawatan itu bagi menghormati keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno berhubung pelantikan Menteri Besar Terengganu selain bagi menyelaras pentadbiran politik dan kerajaan negeri.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites