Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai MB S'gor digantung tugas?
Diterbitkan:  Jun 22, 2008 8:53 PM
Dikemaskini: 7:56 PM

Seorang pegawai kanan menteri besar Selangor, yang sedang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya, akan digantung tugasnya esok.

"Ya, kemungkinan besar esok beliau akan dikenakan tindakan penggantungan," kata satu sumber dekat dengan pentadbiran kerajaan negeri kepada Malaysiakini awal malam ini.

Sumber-sumber lain pula berkata, tindakan itu telah diketahui oleh pegawai terbabit dan beliau mula memanggil mesyuarat dengan beberapa lagi rakannya dalam PKR.

Satu pertemuan dengan pengikutnya telah diadakan hari ini di pejabat pegawai terbabit di Gombak, kata sumber-sumber itu lagi, dan kemungkinan satu perhimpunan bantahan diadakan jika penggantungan tugas diteruskan.

Difahamkan, kira-kira 100 pengikut pegawai terbabit berkumpul di luar pejabatnya di Gombak lewat petang tadi.

Satu sumber lain memberitahu Malaysiakini , beliau tidak pasti sama ada pegawai kanan itu akan digantung atau dipecat daripada pejabat menteri besar.

Seorang bekas timbalan setiausaha PKR yang baru pulang dari luar negara disebut-sebut bakal menggantikan pegawai terbabit.

Bagaimanapun sumber-sumber itu belum dapat mengesahkannya.

khalid ibrahim interview 160608 Beberapa pemimpin dan wakil-wakil rakyat parti itu di Selangor juga sudah mendapat maklumat tentang tindakan yang bakal diambil oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (foto) .

Pada 10 Jun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan berkenaan selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," kata pengarah BPR Selangor, Ja'afar Mahad tidak lama selepas laporan tersebut dibuat.

Pada 5 Jun, sekumpulan empat orang (foto bawah) yang mendakwa ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan Abdul Khalid.

Sehari sebelumnya mereka, yang diketuai oleh Remy Iskandar, telah membuat aduan polis.

selangor mb sinar harian aca report 060608 Remy dilaporkan berkata mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

"Apa yang berlaku seolah-olah menafikan pendirian menteri besar yang sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa setiap pemberian kontrak atau tender akan dilakukan secara terbuka dan menolak usaha pengagihannya menggunakan pendekatan rundingan," beliau dipetik sebagai sebagai berkata.

"Kami tampil untuk untuk membuktikan PKR telus menolak sebarang usaha salah guna kuasa dan cubaan menafikan kepercayaan rakyat terhadap PKR."

Selangor pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.

Kerajaan negeri menyeru empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

ADS