Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua saluran televisyen swasta, TV3 dan Astro Awani akan menyiarkan secara langsung perdebatan isu harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Agendadaily.com , penganjur program tersebut menyatakan siaran itu bermula jam 9 malam 15 Julai ini.

"Kami memberi hak penyiaran debat tersebut kepada TV3 dan dikongsi bersama oleh Astro Awani," kata ketua pengarang akhbar internet itu, Rosli Ismail.

Beliau difahamkan RTM1 pula akan membuat siaran tertunda debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" yang diadakan di auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Hanya 200 orang dibenarkan masuk termasuk 50 orang yang dijemput Anwar dan 50 lagi oleh Ahmad Shabery.

Rosli berkata, beliau telah berunding dengan pihak atasan TV3 untuk siaran langsung debat berkenaan.

Katanya, surat jemputan kepada syarikat media - yang dibenarkan menghantar dua wakil sahaja kerana tempat terhad - akan diedarkan tidak lama lagi.

Moderator debat tersebut pula pengerusi DBP dan popular dengan program perbincangan isu-isu semasa di RTM, Datuk Johan Jaaffar.

Sementara itu, ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang bertindak sebagai wakil Anwar mengesahkan TV3 akan membuat siaran langsung debat tersebut.

"Saya baru dimaklumkan oleh penganjur mengenai perkara tersebut," katanya lagi.

Tambahnya, semalam beliau telah menyerahkan surat persetujuan Anwar kepada Agendadaily.com mengenai kesediaan bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata, pihaknya juga setuju dengan prosedur debat iaitu Anwar dan Ahmad Shabery membawa seorang penyoal untuk mengemukakan kedua-dua panelis itu.

"Cuma ketika ini kami sedang mengenal pasti penyoal bagi pihak Anwar untuk majlis itu," tambahnya.

ADS