Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan visa: BPR tahan Ketua pengarah
Diterbitkan:  Jul 11, 2008 6:06 PM
Dikemaskini: 11:59 AM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan seorang ketua pengarah sebuah jabatan kerajaan dan enam orang lagi untuk membantu siasatan terhadap pengeluaran visa kepada pekerja asing.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Pengarah Siasatan BPR, Shukri Abdull berkata, ketua pengarah yang berpangkat Datuk, ditahan dirumahnya di Damansara malam tadi.

Manakala enam orang lagi itu, termasuk ahli perniagaan terbabit dalam bekalan tenaga kerja kepada syarikat tempatan. Tiga daripada mereka bergelar Datuk.

Wang tunai kira-kira RM500,000 dan visa turut dirampas. Ketujuh-tujuh mereka disiasat meengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Walaupun BPR tidak menyebut sebarang nama, tetapi Bernama melaporkan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen di ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada buruh asing.

Majistret Mazuliana Abdul Rashid membenarkan permohonan itu apabila pegawai lelaki berusia 55 tahun itu dibawa ke mahkamah itu pada 3.30 petang ini.

Mengikut kertas siasatan, pegawai itu ditahan pada 10.20 malam tadi di kediamannya di kawasan Jalan Duta di Kuala Lumpur.

BPR dipercayai telah menerima aduan daripada seorang individu pada 1 Julai yang mendakwa seorang agen buruh asing meminta rasuah RM350 bagi setiap buruh asing yang dibawa masuk ke negara, kononnya sebagai ganjaran kepada pegawai imigresen bagi menyegerakan kelulusan visa.

ADS