Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa, Gani tidak terbabit dalam siasat kes Anwar
Diterbitkan:  Jul 19, 2008 9:47 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata berikutan laporan oleh Anwar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuduhan pemalsuan fakta melibatkan Musa dan Abdul Gani, maka adalah wajar bagi kedua-dua mereka dikecualikan daripada siasatan terhadap ketua umum PKR itu.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan mengambil apa jua peranan berkaitan kes Anwar," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.

Menurut laporan Bernama, Rabu lalu, Anwar memberikan keterangan kepada BPR di Putrajaya, yang meliputi tiga aspek utama iaitu pemalsuan fakta, penghilangan fakta dan pemalsuan laporan perubatan dari Jabatan Forensik, yang membabitkan Musa dan Abdul Gani.

Sebelum itu pada 1 Julai lalu, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat memalsukan keterangan dalam siasatan kes beliau dipukul pada tahun 1998, oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Abdul Gani ketika itu merupakan Timbalan Pendakwaraya manakala Musa ialah pegawai penyiasat kes.

Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya Rabu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan berhubung laporan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, kepada polis pada 28 Jun lalu, mendakwa dirinya diliwat oleh mantan timbalan perdana menteri itu.

etika ditanya sama ada Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap mereka, Abdullah berkata beliau tidak nampak keperluan untuk menggantung perkhidmatan mereka.

Abdullah berkata pegawai yang membuat siasatan ketika ini tidak akan merujuk hasil siasatan kes itu kepada mereka.

"Pegawai itu tidak membuat sebarang rujukan kepada mereka dan (saya) tidak nampak (mengapa) mereka perlu digantung perkhidmatan," katanya.

ADS