Anwar tetap dakwa ditelanjang

   

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mempertahankan bahawa beliau telah ditelanjang dan diaibkan ketika menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur Rabu lalu.

"Hospital (Kuala Lumpur) kata saya tak ditelanjang, (tapi) dia suruh buka baju, buka seluar, kemudian suruh buka seluar dalam, itu bukan namanya telanjang atau ada nama lain, bogel bukan telanjang," katanya.

Mantan timbalan perdana menteri itu menegaskan demikian dalam ceramahnya di kampung Razali, dekat Kuantan, malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar, 61, dibawa ke HKL pada hari beliau ditahan pada 16 Julai lalu untuk menjalani ujian DNA berhubung aduan liwat oleh bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Ketua Umum PKR itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu pejabat polis Kuala Lumpur pada jam 10.34 malam selepas menjalani pemeriksaan perubatan tersebut.

Anwar berkata beliau hairan bagaimana pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak pernah ditelanjangkan ketika menjalani pemeriksaaan perubatan itu.

Pengarah HKL nafi

"Ini kita nak percaya macam mana, saya tak buat salah tapi saya ditelanjangkan, sebab saya menjadi jurucakap rakyat, dan inilah hukumannya, diaibkan, difitnah, ditelanjangkan," kata Anwar.

Semalam, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata sebelum pemeriksaan itu, dua pakar menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pemeriksaan itu kepada Anwar dengan kehadiran peguam beliau.

Anwar kemudian diperiksa oleh dua orang pakar itu mengikut prosedur klinikal tertentu semasa keseluruhan pemeriksaan berkenaan dijalankan. Tidak pernah sama sekali kesopanan dan ketertiban beliau dinafikan sepanjang tempoh pemeriksaan itu, kata Dr Zaininah dalam kenyataan kelmarin.

Berucap di hadapan lebih 5,000 orang itu, Anwar berkata beliau enggan untuk membenarkan sampel darahnya diambil pihak HKL kerana beliau tidak percaya dalam sistem itu kerana bukti DNA yang diambil polis dalam kes liwatnya 10 tahun lalu didakwa telah dimanipulasi pihak polis.

"DNA tidak berubah, darah saya (telah) diambil (dulu), mereka usung tilam (kes 1998), ambil darah saya percik atas tilam, jadi janganlah ulang tayang cerita ini," dakwa Anwar.

Malaysiakini
terkini untuk anda