Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat akan melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sekiranya beliau menang dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos depan.

anwar ibrahim sodomy allegation saiful bukhari azlan first day in court 070808 07 Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia adalah antara empat keputusan yang dibuat dalam mesyuarat khas majlis pimpinan Pakatan - yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS - malam tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, Anwar akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Kami akan membentuk jentera bersama untuk memberikan beliau sokongan politik," katanya ketika membaca satu kenyataan bersama di luar bangunan kompleks mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Beliau membaca kenyataan tersebut di hadapan kira-kira 100 orang penyokong dan para petugas media, sejurus sebelum Anwar masuk ke bangunan mahkamah.

Kenyataan tersebut ditandatangani bersama oleh Lim, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

anwar ibrahim sodomy allegation saiful bukhari azlan first day in court 070808 08 Anwar turut berdiri sebelah Lim yang membaca kenyataan tersebut. Turut sama Wan Azizah dan anak menantunya.

Menurut Lim lagi, Pakatan menganggap kes Anwar sebagai satu kezaliman politik.

Dibenar ikatjamin

"Dalam kes ini, bukan sahaja Datuk Seri Anwar sahaja yang dibicarakan, tetapi seluruh negara sedang dibicarakan," katanya.

Lim berkata, pihaknya telah sepakat, sekiranya Anwar tidak dibenarkan ikat jamin atau ditahan pada hari ini, maka Wan Azizah, akan bertindak sebagai penyelaras majlis pimpinan ini.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

anwar ibrahim sodomy allegation saiful bukhari azlan first day in court 070808 02 Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Sebelum itu, Anwar tiba bersama ahli keluarga dan barisan peguamnya pada 9.38 pagi. Selepas selesai Lim membaca kenyataan tersebut, Anwar menaiki lif pada 9.52 pagi untuk ke bilik mahkamah.

Pada jam 11.26 pagi, penasihat PKR itu keluar dari lif kompleks mahkamah itu, dan terus dikerumuni oleh para wartawan, jurugambar dan penyokongnya.

Laungan reformasi

Dalam keadaan yang sesak tersebut, para penyokong beliau melaungkan 'reformasi' beberapa kali.

Mereka kemudiannya turut membantu anggota polis membuka laluan kepada Anwar untuk berjalan menuju ke keretanya.

anwar ibrahim sodomy allegations court day footage from house 070808 01 Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mengetuai para penyokong melaungkan 'Reformasi', 'Hidup, hidup, hidup rakyat', 'Bebaskan Anwar'.

Pada kira-kira jam 11.37 pagi, Anwar dan keluarganya menaiki kereta dan keluar meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Turut mengiringi beliau ialah Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Mustafa Kamil Ayub.

Pada kira-kira jam 12.30 tengahari, penyokong PKR mulai bersurai, manakala dua bas dan lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta dua meriam air, beredar dari situ.

ADS