Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tidak wajar sumpah Saiful dipolitik...
Diterbitkan:  Aug 19, 2008 1:30 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) menegaskan bahawa isu sumpah (mubahalah) yang telah dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung pertuduhan liwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, tidak wajar dipolitikkan.

"Tidak wajar mempolitikkan isu sebegini dan pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Islam dan Syariah untuk kepentingan tertentu, harus berhenti sama sekali dari berbuat demikian," kata Yang Dipertua PUMPP, Dr Wan Salim Wan Mohd Nor.

Sebaliknya, kata beliau, PUMPP menyarankan agar isu itu diselesaikan mengikut peraturan dan syariat Islam sepertimana yang digariskan dalam undang-undang Syariah Islam jika benar pihak terbabit ikhlas mahu menyelesaikannya mengikut lunas-lunas Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, bersumpah dengan memegang al-Quran tidak ada dalam tradisi dan syariat Islam dan tidak wajar dicampuradukkan dalam sumpah yang dilakukan itu.

"PUM PP juga menyatakan bahawa pendakwa (Saiful) tidak ada keperluan untuk melafazkan sumpah, memandangkan beliau adalah di pihak yang membuat pertuduhan.

"Dalam syariat Islam, kes ini diklasifikasikan sebagai kes Hudud (dalam bab zina) dan pendakwa wajar membawa bukti mengikut syarak bahawa perlakuan liwat berlaku dan perkara ini akan dibicarakan di mahkamah selaras kaedah feqah "al bayyinah alal mudda'i wal yaminu ala man ankara" - pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti (4 orang saksi) manakala yang menafikan dikehendaki bersumpah," katanya

Pada asasnya, tegas beliau, Islam meletakkan peraturan yang jelas bagi memungkinkan keadilan dicapai melalui proses kehakiman dan pembuktian terlebih dahulu, sebelum sebarang sumpah dilafazkan.

‘Proses pembuktian'

Oleh itu, kata Dr Wan Salim, sumpah sebegini tidak wajar dilaksanakan sebelum proses kehakiman diselesaikan.

"Perkara yang berlaku ini akan memberi kesan buruk, antara lain, kepada perlaksanaan sistem kehakiman Syariah di Malaysia apabila pada masa akan datang, pelbagai pihak boleh menggunakan ini sebagai "precedent" bagi mendahulukan sumpah, terutama dalam kes li'an sebelum proses kehakiman dapat dilakukan.

"Proses pembuktian dan pengadilan akan diketepikan dan pihak yang bersalah boleh memilih untuk menggunakan sumpah (yang tidak memerlukan pembuktian) bagi menyelamatkan diri dari penghukuman," katanya lagi.

Oleh itu, katanya, PUMPP menyeru semua pihak agar tidak menggunakan nama Islam dan syariah tanpa mengikuti peraturan syariah yang sebenarnya bagi tujuan politik "Machiavelli" mahupun kepentingan peribadi.

"PUMPP juga menyeru agar beberapa ulamak dan agamawan untuk merujuk dan menerima pandangan ulamak dan pakar lain, sebelum membuat apa-apa kenyataan yang bakal memburukkan keadaan dan tidak memungkinkan proses keadilan dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan sempurna di negara ini.

"Dalam hal ini dan apa juga masalah, semua pihak digesa untuk merujuk kepada prinsip ta'awun seperti mana yang ditekan oleh al-Quran," tambahnya.

Pada 15 Ogos lalu, Saifful mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR itu di kondominium mewah di Damansara.

ADS