Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Wangsa Maju mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai dakwaan rasuah dan kekerasan berlaku sepanjang mesyuarat cawangan-cawangan Umno di bahagian itu.

Bagaimanapun, setiausahanya, Ghazali Shamsuddin menyifatkan perkara tersebut sebagai biasa dalam mana-mana mesyuarat cawangan terutama di kalangan orang muda.

“Sebagai setiausaha bahagian, saya bertanggungjawab membuat laporan kepada pihak berkenaan mengenai kejadian tersebut.

“Tetapi kejadian berkenaan dapat dikawal kerana jumlah yang berlaku kecil sahaja,” katanya ketika diminta mengulas laporan mengenai kekerasan berlaku dalam mesyuarat cawangan di bahagian tersebut.

Sehingga ini, 39 dari 42 cawangan telah mengadakan mesyuarat masing-masing.

Bagi jawatan ketua bahagian, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah memperolehi 19 pencalonan, manakala Datuk Zainal Nazeri Zainuddin 10. Tiga cawangan lagi akan mengadakan mesyuarat semula.

Dr Mohd Shafie kini merupakan naib ketua bahagian, manakala Zainal adalah pemangku ketua bahagian.

Dakwaan wang

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan beberapa ahli Umno di Wangsa Maju bahawa pihaknya menggunakan wang untuk mempengaruhi cawangan supaya mencalonkannya, Dr Mohd Shafie berkata, isu itu digembar-gemburkan kerana beliau akan bertanding jawatan ketua bahagian.

“Macam-macam dakwaan terhadap saya dibuat. Ada yang kata saya beri wang kepada ketua cawangan supaya memilih saya.

“Ada yang kata kononnya saya beri RM10,000, RM50,000 kepada mereka. Kalau begitu kayalah saya," katanya sambil menyifatkannya sbagai 'hanyalah permainan politik'.

“Orang sudah kenal siapa saya kerana sudah berbelas tahun terbabit dengan Umno Wangsa Maju,” katanya.

Dr Mohd Shafie juga mendakwa ada cawangan yang membatalkan mesyuarat apabila mengetahui cawangan tersebut akan mencalonkannya sebagai ketua bahagian.

Katanya, ada juga ahli tertentu membuat kacau dalam mesyuarat bagi menghalang cawangan tersebut mencalonkannya.

ADS