Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah didesak berundur awal
Diterbitkan:  Oct 14, 2008 3:50 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Tan Sri Rafidah Aziz didesak supaya menyerahkan lebih awal jawatan ketua Wanita Umno kepada Naibnya Datuk Seri Shahrizat Jalil.

rafidah aziz Desakan itu dibuat oleh ketua Wanita Umno bahagian Kalabakan, Sabah, Datuk Hamisa Samat hari ini yang mahu Rafidah berbuat demikian Mac depan dan bukan Jun 2009 bagi membolehkan Shahrizat Jalil diberi kuasa penuh menerajui pergerakan tersebut.

Hamisa menegaskan demikian ekoran beberapa bahagian di Sabah mencalonkan Shahrizat sebagai ketua wanita semasa mesyuarat perwakilan masing-masing hujung minggu lalu.

Sebanyak 12 bahagian telah mencalonkan Sharizat, termasuk bahagian Kalabakan sendiri, Sepanggar, Kinabatangan dan Kota Belud.

Keputusan bahagian-bahagian berkenaan, jelas membelakangkan persetujuan yang dicapai oleh pucuk pimpinan pergerakan itu, demikian menurut laporan Bernama.

shahrizat abdul jalil Sehingga hari ini, Shahrizat menerima 12 pencalonan dari bahagian Wanita yang bermesyuarat, berbanding Rafidah iaitu 52 pencalonan.

Hadapi pilihanraya

Menurut Hamisa berkata, adalah janggal bagi Shahrizat memangku jawatan ketua selepas peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun tahun depan, memandangkan mesyuarat agung bagi pemilihan akan datang, cuma diadakan pada 2011.

Keadaan itu, tambahnya, akan memberi gambaran seolah-olah wanita Umno tidak mempunyai ketua dalam tempoh yang agak panjang, termasuk untuk persiapan menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Pergerakan Wanita, tegas Hamisa, sepatutnya telah mempunyai seorang ketua baru Mac tahun depan dan bukannya dipangku oleh Shahrizat sehingga tahun 2011.

"Apa yang disuarakan ini bukan kita menolak kredibiliti dan kepimpinan berkesan (Ketua Wanita Umno Tan Sri) Rafidah (Aziz) tetapi kita melihat dari sudut kekuatan dan masa depan parti itu sendiri," katanya.

Hamisa berkata, semua pihak perlu kembali mendengar suara di peringkat akar umbi yang turut mahukan perubahan dalam pergerakan Wanita.

"Pelan peralihan jawatan antara Rafidah dan Shahrizat yang dijadualkan pada Jun 2009 sudah tidak sesuai dalam usaha memperkuatkan parti. Kita tidak mahu Shahrizat hanya memangku jawatan ketua, sebaliknya diberi kuasa penuh.

Susun pergerakan Wanita

"Dengan kuasa penuh, beliau boleh menyusun pergerakan Wanita dengan lebih lancar dan berkesan bagi meneruskan pencapaian kepimpinan semasa di bawah Rafidah,"katanya.

Rafidah akan bertanding mempertahankan jawatannya Mac depan dan hanya akan menyerahkan kuasa kepada Shahrizat pada Jun 2009.

Semalam, ahli Parlimen Kuala Kangsar itu juga menafikan yang beliau ingin mempercepatkan proses peralihan kuasa tersebut.

Sebaliknya, Rafidah berkata beliau akan mengikut rancangan yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya dan Wanita Umno.

Shahrizat telahpun memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk menentang Rafidah bagi jawatan tertinggi sayap itu dan akan bertanding untuk

mempertahankan jawatan naib ketua Mac nanti.

ADS