Peletakan jawatan Loke belum diterima, kata Anwar
PRN MELAKA | Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan dan berkata perkara itu boleh dirunding semula, namun setiausaha agung DAP itu bertegas keputusannya adalah muktamad.
Pendirian yang bercanggah itu timbul dalam ucapan di ceramah kemuncak PH di Ayer Keroh malam tadi, dengan Anwar menyentuh perkara terkait Setiausaha Agung DAP berkenaan sebelum berlepas ke acara lain.
Loke pula menyampaikan ucapan sebagai penceramah terakhir pada malam berkenaan.
Peletakan jawatan Loke dicetuskan oleh keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah perintah tahanan rumah, satu isu yang mengundang kritikan sesetengah pihak termasuk penyokong DAP.
Anwar – yang berucap sebelum Loke – mengesahkan dia diberikan surat Loke namun belum menerima hasrat Ahli Parlimen Seremban itu untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Dia yang juga Pengerusi PH menambah, Loke sebenarnya boleh mengambil "cuti sekejap".
"Peletakan jawatan kita akan runding semula, setuju?" tanya Anwar yang kemudian disambut laungan setuju oleh orang ramai.
Selepas Anwar beredar, Loke naik ke pentas mengambil giliran dan memulakan ucapannya dengan berseloroh bahawa dia tidak lagi perlu menghadiri mesyuarat mingguan kabinet pagi ini sebelum mengulas mengenai keputusannya.
"Saya dan DAP kekal menyokong Anwar sebagai perdana menteri," katanya sambil menegaskan bahawa 40 anggota parlimen parti terbabit kekal teguh di belakang Ahli Parlimen Tambun berkenaan.
Loke juga mengulangi penegasan bahawa dia mengumumkan peletakan jawatannya hampir tujuh minggu lalu, sambil memberi amaran bahawa ia akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib pulang ke rumah, tanpa sebarang kelewatan lanjut.
Peletakan jawatan Loke mula ditawarkan susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 Sept lalu. Menurut Loke dia akan meninggalkan kabinet bagi mencerminkan tentangan parti terhadap Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Dia kemudian menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada 28 Sept, namun bersetuju untuk kekal memegang jawatan buat sementara waktu atas permintaan perdana menteri.
Keesokan harinya, Loke berkata dia menetapkan garis masa yang jelas bagi pengundurannya, sambil menegaskan bahawa peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada hari Najib pulang ke rumah.
Najib tiba di kediamannya di Kuala Lumpur menjelang 9.30 malam Selasa susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membuka jalan bagi pemindahannya dari Penjara Kajang ke rumah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Di bawah perintah itu, Najib, 73, akan menjalani baki hukuman penjara enam tahun – asalnya ditetapkan hakim ialah 12 tahun – sehingga 23 Ogos 2028. Pun begitu ahli politik berusia 73 tahun itu mungkin perlu kembali mendekam dalam sel jika rayuan bagi sabitan 25 pertuduhan lain ditolak mahkamah selepas ini.
Isu Najib meletakkan DAP di bawah tekanan untuk membuktikan komitmen mereka dalam memerangi rasuah, khususnya dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan reaksi parti itu terhadap tahanan dalam rumah bekas perdana menteri tersebut.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/e9dd81ab22a4a1794549b6b150b2fd09.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.