Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berharap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dapat melantik pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru "yang betul".

"Harap (menteri besar) lantik yang betul, bukan cari punca hendak mengorek," katanya.

abdul rahman palil Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut maksud "mengorek" itu.

Sejak Isnin lalu, jawatan itu dipangku sementara oleh Low Siew Mo - mengambil alih tugas Datuk Harun Salim yang bersara.

Keputusan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low telah dibantah enam persatuan kakitangan PKNS yang menyerahkan memorandum dan mendesaknya menarik balik pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mencari calon bumiputera untuk mengisi jawatan tersebut.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahman yang juga timbalan pengerusi Persatuan Pelajar Melayu Selangor mengakui jawatan itu patut diberikan kepada golongan bumiputera.

‘Harap MB faham'

Ditanya sama ada beliau akan menggerakkan suatu bantahan besar kumpulan NGO seperti yang pernah dilakukannya Julai lalu, beliau berkata tidak perlu kerana bantahan yang dibuat sudahpun cukup.

"Tidak, sudah cukup (bantahan yang dibuat). Harap beliau (menteri besar) fahamlah. Takkan tidak faham lagi," katanya.

Pada 3 Julai lalu beliau dilaporkan memimpin 200 anggota pelbagai NGO bagi menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam hal ehwal Islam.

Diminta mengulas proses penelitian jawatan tertinggi PKNS itu oleh jawatankuasa pemilihannya yang akan memulakan temuduganya bermula Khamis ini, Abdul Rahman berkata, pelantikan itu merupakan hak menteri besar dan terpulanglah kepada kerajaan negeri untuk memutuskannya.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor kelmarin dilaporkan berkata, permohonan sebagai pengurus besar akan diteliti oleh jawatankuasa pemilihan yang dianggotai Ketua Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ariff Ab Rahman; peguam Zain Azhari dan akauntan bertauliah, Datuk Azlan Hashim.

Calon yang disenarai pendek dilaporkan akan dirujuk kepada sebuah lagi jawatankuasa teknikal, terdiri daripada anggota beberapa persatuan berkaitan untuk semakan dan pengesahan kejayaan kerjaya calon terpilih.

PKNS dijangka mengumumkan keputusan dalam masa sebulan.

ADS