Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhd Taib dakwa ada pihak ugut jangan calon beliau

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa, separuh daripada bahagian Umno telah diugut supaya tidak mencalonkan beliau dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

muhammad muhd taib Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, beliau yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah mendakwa, telah menjadi mangsa kepada budaya politik sedemikian.

Oleh itu, beliau meminta umno bahagian supaya jangan memperdulikan ugutan tersebut dan memberi peluang saksama kepadanya dan Mohd Ali untuk bertanding bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehingga ini, pencalonan bagi Muhyiddin telah melepasi kelayakan minima 39 pencalonan. Beliau mendapat 79 pencalonan manakala Muhd Taib mendapat 29 pencalonan dan Mohd Ali pula mendapat 32 pencalonan.

Sehingga ini, kira-kira 142 daripada 191 bahagian Umno telah selesai bermesyuarat. Kira-kira 49 bahagian lagi akan bermesyuarat hujung minggu ini.

Muhd Taib bagaimanapun tidak menamakan sesiapa yang didakwanya cuba menutup peluangnya dan Mohd Ali mendapatkan cukup pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

"Mengikut pengalaman saya di tempat tertentu, ada orang diugut untuk mencalonkan orang-orang tertentu dan terus menyokong orang-orang tertentu, sehinggalah penamaan calon tamat.

"saya berharap semua dapat memberi peluang kepada saya dan Datuk Mohd Ali dan harap tidak ada sesiapa yang menggunakan taktik tidak baik untuk menghalang kami bertanding," tambahnya.

Yakin dapat cukup pencalonan

Walaupun didesak oleh wartawan, tetapi Muhd Taib tidak mahu menamakan pihak-pihak yang yang dimaksudknnya.

"Saya cuma diberitahu ada perkara tersebut (berlaku) tetapi tidak tahu siapa," katanya.

Beliau juga tidak mahu menyatakan sama ada ancaman tersebut dibuat melalui panggilan telefon, kiriman SMS atau cara lain.

Muhd Taib mendakwa, budaya tidak sihat itu telah berleluasa dan berlaku di hampir separuh daripada bahagian Umno.

Selain tindakan tersebut, beliau mendakwa, ada pihak yang cuba menyebarkan khabar angin kononnya beliau akan menarik diri supaya pihak bahagian tidak mencalonkannya.

Bagaimanapun, Muhd Taib percaya beliau mampu memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding jawatan timbalan presiden.

"Saya kini mendapat 29 pencalonan. Masih ada tujuh bahagian di Selangor yang belum bermeysuarat.

"Tujuh bahagian ini akan mencalonkan saya, Insya-Allah saya boleh dapat tiga lagi pencalonan dari tempat lain, untuk menggenapkan 39 pencalonan minima yang diperlukan," katanya.

ADS