Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DR M: Hakim-hakim berkenaan dipecat
Diterbitkan:  Nov 8, 2008 6:57 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa tiga hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988 telah dipecat, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menyatakan mereka diminta meletak jawatan.

"Setahun saya, mereka dipecat," katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas isu itu, di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

salleh abas and malaysia parliament Beliau bagaimanapun berkata, bekas-bekas hakim itu tetap menerima pencen atas dasar ihsan, termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, demikian menurut laporan Bernama.

"Sekalipun beliau dipecat, beliau telah memberikan khidmat kepada kerajaan dalam beberapa tahun beliau di situ. Untuk memisahkan beliau sepenuhnya dari pencen adalah amat zalim, jadi diputuskan beliau dan hakim-hakim lain diberikan pencen mereka," kata Dr Mahathir.

Khamis lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak pernah keluar perintah daripada tribunal berkenaan supaya memecat hakim-hakim itu, dan dalam sidang akhbar selepas itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Tun Salleh Abas, allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salahlaku dalam krisis kehakiman 1988, manakala tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian

dikembalikan ke jawatan mereka.

Dr Mahathir enggan mengulas bila ditanya sama ada jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim itu mencukupi, dan berkata itu harus ditanyakan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Dr.Mahathir berkata kerajaan sepatutnya membayar pampasan kepada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad yang telah dibebaskan Selasa lalu dari tuduhan bersubahat dalam kes jenayah pecah aman dan menipu melibatkan RM9 juta.

Dr Mahathir, Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana sebelum itu melancarkan triathlon amal oleh perenang termuda jarak jauh negara, Salman Ali Shariati Abdul Halim, serta menyampaikan ucaptama dalam forum "Nilai Belia dan Kepimpinan Masa Depan" selepas pelancaran itu.

Salman Ali Shariati, 11, memulakan triathlon itu dengan acara berenang sejauh lapan kilometer, kemudian berbasikal sejauh 360 kilometer dan berlari sejauh 84 kilometer, dan dijangka tamat jam 5 petang esok.

ADS