Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mengembalikan semula kekebalan Raja-raja Melayu bukan bermaksud institusi itu berkuasa mutlak, sebaliknya mengukuhkan lagi konsep Raja Berperlembagaan, kata penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Konsepnya bukan kuasa mutlak seperti mana kuasa sistem kerajaan beraja yang pernah wujud. Negara ini telah memilih (sistem) Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen.

"Maknanya, Raja yang tunduk kepada prinsip perlembagaan dan undang-undang, tetapi kemuliaan dan darjat Raja-raja harus dipelihara," katanya ketika menyampaikan ucapan di penghujung kongres nasional kelima PKR petang tadi.

"Maka, sebab itulah kekebalan harus diberikan semula, (dalam bentuk) terikat dengan perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan."

Beliau membuat penjelasan itu sebagai susulan kenyataan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam yang ringkas dan, akibatnya, mengundang bermacam-macam pandangan, termasuk kritikan.

Dalam ucapan dasarnya, bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata:

"Malah kita bersedia mengembalikan kekebalan Raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan. Inilah erti sebenar harapan baru yang kita bawa."

Mengulas isu itu, dengan merujuk pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993, Anwar berkata:

"Apa yang dilakukan dulu (oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah satu keterlanjuran.

"Yang dihebahkan (kepada umum), kuasa raja dikembalikan kepada kuasa rakyat. Yang (sebenarnya) berlaku, kuasa Raja pulang kepada perdana menteri. Maka kita harus betulkan."

Konsep kekebalan Raja-raja, tambah Anwar, turut diamalkan di negara-negara yang mengamalkan sistem republik seperti Amerika Syarikat yang memberikan status seumpama itu kepada presidennya.

Mantan timbalan perdana menteri itu berkata, pakar undang-undang PKR akan meneliti bagaimana isu kekebalan Raja-raja boleh diketengahkan supaya tidak berlaku ketegangan antara istana dan eksekutif.

"Kita jelaskan, kita menerima prinsip kekebalan (Raja) yang tertakluk kepada prinsip perlembagaan," katanya di hadapan kira-kira seribu perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Sementara itu, mengulas bakal calon Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu, Anwar berkata, perkara itu akan dibawa dalam rundingan bersama ketiga-tiga parti gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan penyertaan PAS di kawasan itu dalam pilihanraya umum lalu, PKR akan akur dan memberikan sokongan padu sekiranya calon PAS dipilih.

Kerusi parlimen itu kosong selepas penyandangnya, yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia kelmarin.

Allahyarham selama dua penggal menguasai kerusi itu menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam pilihanraya umum lalu dengan majoriti tipis, 628 undi.

ADS