Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohamad Sabu pilihan Nik Aziz di KT
Diterbitkan:  Dec 3, 2008 4:10 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat suka sekiranya PAS memilih tokoh kanannya Mohamad Sabu sebagai calon parti itu untuk bersaing dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Beliau, yang juga mursyidul am PAS, berkata Mohamad seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu menjadi wakil rakyat kawasan itu.

nik aziz mat sabu kuala terengganu by election 031208 Nik Aziz berkata naib presiden PAS itu petah berkata-kata sewaktu berceramah sehingga beliau sendiri tidak mampu lakukan seperti Mohamad.

Mohamad tewas tipis dengan 628 undi di tangan Datuk Razali Ismail dalam pilihanraya umum Mac lepas.

Kerusi itu kosong susulan kematian mengejut Razali, yang juga timbalan menteri pelajaran, minggu lalu.

Bercakap di sidang media di Kota Bharu, Nik Aziz berkata Mohamad hanyalah cadangan peribadinya dan terpulang kepada PAS serta Pakatan Rakyat untuk memilih calon pembangkang di kerusi panas tersebut.

Jentera pilihanraya

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa akan mengetuai jentera pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Beliau akan dibantu oleh pengarah pilihanraya nasional PAS, Datuk Mustafa Ali yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu.

Pada kebiasaannya, Mustafa sepatutnya menerajui jentera tersebut, pertukaran itu telah mencetuskan spekulasi yang beliau mungkin antara calon PAS untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Nasharuddin juga enggan mengulas lanjut bila ditanya sama ada nama Mustafa turut tersenarai.

Sebaliknya, beliau berkata, walaupun ia merupakan satu pilihanraya kecil tetapi PAS melihatnya sebagai satu urusan nasional.

Ditanya mengenai calon pula, Nasharuddin berkata, PAS kawasan Kuala Terengganu yang bermesyuarat hari ini, akan mengemukakan cadangannya kepada PAS negeri dan kemudiannya dibawa kepada pucuk pimpinan pusat untuk diputuskan pada 21 Disember depan.

Antara nama yang disebut ialah calon PAS dalam pilihanraya umum Mac lalu, Mohamad Sabu, bekas MP Kuala Terengganu, Syed Azman syed Ahmad Nawawi dan timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Wan Mutalib Embong.

Ketika dihubungi, Mohamad yang terkenal dengan kelantangannya berpidato berkata, beliau tidak akan menawarkan dirinya sebagai calon.

"Pihak parti belum membuat sebarang keputusan, jadi lebih baik diserahkan kepada parti dan saya akan mematuhi keputusannya," katanya kepada Malaysiakini.

Baca berita penuh

ADS