Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Faktor calon akan menjadi penentu kepada kemenangan bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu yang selewat-lewatnya diadakan pada awal Januari ini.

Setiausaha Umno bahagian Kuala Terengganu, Ibrahim Omar berpendapat ketuanya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga timbalan menteri dalam negeri, calon terbaik untuk mewakili BN.

kuala terengganu by election wan farid bn candidate 031208 "Calon terbaik BN ialah Datuk Wan Ahmad Farid kerana faktor kewibawaannya menerajui bahagian Kuala Terengganu sejak empat tahun lalu.

"Orang senang dengan penampilan beliau yang mudah didekati pada bila-bila masa, bukan sahaja di kalangan orang Umno tetapi juga orang ramai," kata Ibrahim kepada Malaysiakini hari ini.

"Ini yang penting kepada seorang pemimpin terutama di parlimen Kuala Terengganu yang juga merupakan kawasan kuat PAS."

Menurutnya, jika BN meletakkan orang lain selain Wan Ahmad Farid, peluang BN menang adalah 50-50.

Ibrahim berkata, dari maklum balas yang diperolehinya, semua ketua cawangan Umno bahagian menyokong Wan Ahmad Farid sebagai calon BN.

Bagaimanapun, tambahnya, BN akan hadapi saingan sengit daripada PAS dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Kawasan parlimen tersebut, katanya lagi, merupakan kubu kuat PAS apabila memenangi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum, Mac lalu.

Kerusi-kerusi tersebut ialah Ladang, Batu Buruk dan Wakaf Mempelam. Manakala BN menang di DUN Bandar yang diwakili oleh MCA.

Bagaimanapun Ladang, yang umumnya sukar dimenangi pembangkang, dimenangi PAS baru-baru ini dengan 31 undi sahaja. PAS juga pernah menguasai kerusi DUN ini pada 1999.

Bagi Kuala Terengganu pula, calon BN Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti tipis sebanyak 628 undi apabila menewaskan calon PAS Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf.

Kerusi itu kini kosong ekoran kematian Razali, Jumaat lalu.

'Calon bukan penentu PAS'

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Shukairi Wan Abdullah pula berkata, calon PAS tidak semestinya orang tempatan.

nik aziz mat sabu kuala terengganu by election 031208 Katanya, mereka juga tidak semestinya pemimpin yang mempunyai jawatan tertentu dalam PAS Kuala Terengganu.

"Yang paling penting, calon yang boleh diterima masyarakat dan mampu membawa misi parti," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan nama Mohamad, juga naib presiden parti itu, untuk meneruskan cabaran PAS di kerusi tersebut.

Wan Shukairi berkata, PAS mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menang dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut.

Pandangannya ini kerana PAS telah menguasai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tambahnya.

Sementara pengarah pilihanraya PAS peringkat negeri untuk pilihanraya tersebut Datuk Wan Abdul Mutalib Embong berkata, bagi pihak PAS, calon bukan faktor penentu kemenangan.

Katanya, ini kerana lanskap politik sewaktu pilihanraya umum lalu berbeza dengan pilihanraya kecil.

"Calon luar sesuai dalam suasana pilihanraya umum lalu tetapi berikutan suasana telah berubah, maka calon tidak lagi memainkan peranan yang besar.

"Selain calon, orang melihat isu dan parti sebelum membuat pilihan," katanya, yang timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu.

Wan Abdul Mutalib menambah, Kuala Terengganu adalah kawasan bandar dan pengundinya pandai membuat penilaian lebih kritikal terhadap calon.

Ditanya mengenai peluang PAS, beliau enggan membuat ramalan kerana menurutnya suasana politik sudah berubah.

Dalam mesyuarat hari ini, tambahnya, PAS belum menetapkan calon kerana masih menunggu pengumuman Suruhajaya Pilihanraya (SPR), yang dijadualkan esok.

PAS semalam mengumumkan timbalan presidennya Nasharuddin Mat Isa untuk mengepalai jentera parti itu di peringkat pusat, sementara pengarah pilihanraya pusat PAS Datuk Mustafa Ali membantunya untuk merampas Kuala Terengganu.

ADS