Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 3:53pm Penduduk di kawasan berhampiran tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang dikenal pasti selamat akan dibenarkan pulang, kata seorang pegawai menteri besar Selangor.

Setiausaha akhbarnya Arfa'ezah Aziz berkata, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 10 pagi Ahad ini di Bukit Antarabangsa.

Laporan ringkas yang diserahkan kepada Abdul Khalid pagi ini telah "mengenal pasti siapa yang boleh balik dan siapa yang tidak boleh balik" ke kawasan berdekatan tragedi itu.

bukit anatarabangsa landslide pdrm aerial photographs 101208 03 Arfa'ezah menambah, laporan itu juga mencadangkan beberapa tindakan untuk menangani tragedi ngeri 6 Disember yang mengorbankan empat nyawa dan meranapkan 14 buah banglo.

Untuk menghalusi laporan itu dan merangka tindakan susulan, Abdul Khalid dijangka mengadakan mesyuarat dengan Pegawai Daerah Gombak, Huzairi Samsi dan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok, tambahnya.

Katanya, laporan itu diterima menteri besar melalui Huzairi ketika mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Setiausaha politik menteri besar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau difahamkan laporan itu diperolehi daripada polis setelah diserahkan oleh JKR.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, pejabat menteri besar "berharap semua pihak agar dapat bersabar sehinggalah keputusan berkaitan kajian ini diumumkan".

selangor exco meeting 261108 khalid ibrahim Terdahulu, Abdul Khalid dilaporkan berkata keputusan membenarkan penduduk pulang dicapai selepas menerima kajian awal geoteknikal JKR dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Beliau bagaimanapun berkata belum meneliti sepenuhnya laporan tersebut.

Semalam kerajaan Selangor melahirkan rasa kecewa dengan sikap Kementerian Kerja Raya yang enggan membenarkan JKR menyerahkan laporan tersebut semalam sehingga menghalangnya memaklumkan kepada penduduk dalam satu pertemuan yang dijadualkan jam 10 pagi ini.

Jabatan itu bercadang menyerahkan laporan berkenaan selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pagi ini dan diumumkan oleh menteri berkenaan.

Kira-kira 3,000 penghuni Bukit Antarabangsa menanti dalam keadaan tidak menentu laporan tersebut sejak dua minggu lalu sama ada mereka masih boleh tinggal di situ atau sebaliknya.

ADS