Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Farid perjudi jawatan timbalan menteri
Diterbitkan:  Dec 23, 2008 12:32 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangannya dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Jika tewas, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai senator untuk mengekalkan jawatannya sebagai timbalan menteri dalam negeri yang disandangnya sejak Mac lepas.

Wan Ahmad Farid mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dipetik media sebagai berkata, jika Wan Ahmad Farid tewas dalam pilihanraya kecil tersebut, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai senator.

Menurutnya, timbalan menteri itu dianggap telah berkhidmat untuk tempoh tiga tahun atau satu penggal penuh walaupun beliau meletakkan jawatan senator pada 5 Januari depan bagi membolehkan berdiri sebagai calon BN.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Januari ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut.

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highlands pada 28 November lalu.

Abdul Hamid berkata, berdasarkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada masa pemerintahan perdana menteri ketiga, allahyarham Tun Hussein Onn, seseorang senator hanya boleh memegang jawatan itu selama dua penggal atau enam tahun.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan Wan Ahmad Farid, yang ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil tersebut.

Wan Ahmad Farid, 46, bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London merupakan anak jati Kuala Terengganu.

Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan exco Pemuda Umno Malaysia dari 1999 hingga 2004.

Pada 2001, beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

PAS, yang pada mulanya dijangka mengumumkan nama calonnya Ahad lalu, tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan hanya mengumumkan calonnya pada 1 Januari depan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Antara nama yang disebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; timbalannya Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat Dr Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

ADS