DAP: Anwar, disiplinkan orang PKR

   

DAP meminta penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pemimpin parti itu lebih berdisiplin dalam usaha mengekalkan Pakatan Rakyat terus diterima rakyat, lapor Bernama .

"Anwar harus memastikan pemimpin-pemimpin PKR lebih berdisiplin," Lim Guan Eng dipetik berkata, mengulas isu beberapa pemimpin PKR bergaduh dengan pemimpin PAS di Perak baru-baru ini.

Insiden itu dilaporkan berkemungkinan boleh menjejaskan peluang pembangkang menang pada pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Lim, juga ketua menteri Pulau Pinang, berkata Pakatan Rakyat akan melihat sejauh mana pergeseran yang timbul antara pemimpin- pemimpin berkenaan dan berusaha mencari jalan mengatasinya.

"Saya rasa mungkin satu atau dua pemimpin PKR yang bergaduh dengan PAS.

"Pakatan Rakyat akan lihat sejauh mana perkara itu (pergaduhan) dan akan mencari jalan untuk mengatasinya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Lim berkata DAP akan menyokong penuh calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut yang bertanding pada pilihan raya kecil itu, bermula Selasa depan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul hadi Awang semalam mengumumkan Abdul Wahid, juga wakil rakyat Wakaf Mempelam bagi berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In