Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Beberapa pengundi termasuk yang tinggal berdekatan rumah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Jalan Ibrahim mendakwa tidak mengenali calon BN itu walaupun pernah terserempak dengannya.

Mereka umumnya bagaimanapun menafikan beliau seorang ahli politik muda yang sombong dan sukar didekati.

Ditemui Malaysiakini di Jalan Panji Alam, pengundi lebih mengenali ketokohan arwah bapanya sebagai pegawai tinggi kerajaan negeri.

"Saya tidak kenal beliau, tapi saya kenal ayahnya. Tetapi kalau beliau ajak bertemu (di program BN), kita pergi," kata seorang penduduk di Mengadang Akar dalam satu tinjauan ringkas.

Ali Mohamad berkata, keadaan itu mungkin kerana perbezaan umurnya dengan calon tersebut.

"Dia muda lagi, pakcik sudah tua. Tetapi pakcik baik benar dengan ayahnya.

"Wan Ahmad Farid pernah datang ke kampung ini, kita pergi beramai-ramai bertemunya," katanya.

"Dia baik dan tidak sombong tetapi lagaknya menyebabkan orang nampak dia bengkeng (garang)."

Rakannya Chik Salleh dari kampung sama berkata, beliau tidak mengenali Wan Ahmad Farid walaupun bekas timbalan menteri itu pernah melawat kampungnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau turut hadir dalam lawatan calon BN di kampungnya, kira-kira dua kilometer dari rumah Wan Ahmad Farid, di DUN Ladang sebelum ini.

"Acap juga dia mari kampung ini, sampai ke tepi tangga rumah ini, kita pun bercakap dengan dia," katanya.

Cheku Ali Teh dari Kampung Gelugor Raja dalam DUN Wakaf Mempelam berkata, beliau tidak begitu mengenali Wan Ahmad Farid.

"Tetapi saya pernah beberapa kali pergi ke rumahnya, selalunya kalau ada jamuan hari raya.

"Dia bersalam dengan saya, dia tengok dan senyum kepada saya.

" Pelawok (bohong) kalau orang kata dia sombong kerana orangnya baik sangat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Ahmad Mat Amin juga dari Gelugor Raja berkata, sepanjang pengetahuannya calon BN itu tidak sombong seperti sangkaan ramai.

Seseorang yang tidak mengenalinya memang mudah untuk menuduhnya sebagai sombong, katanya yang pernah bekerja mengecat rumah bapa Wan Ahmad Farid.

"Kita boleh pergi bertemunya tetapi kalau tiada urusan nak pergi buat apa," katanya lagi.

Sikap Wan Ahmad Farid yang didakwa elitis dan kurang mesra menjadi perbualan di kalangan pengundi Kuala Terengganu termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri.

Sikap ini dibimbangi akan mengurangkan peluangnya untuk menyabut cabaran calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Persaingan dua calon parti besar yang turut diwarnai calon bebas Azharudin Mamat @ Azam akan diketahui keputusannya pada 17 Januari ini.

ADS