Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Calon India PKR bertanding p'raya Bkt Selambau
Diterbitkan:  Feb 10, 2009 12:08 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

PKR merancang meletakkan calon berketurunan India pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah susulan peletakan jawatan penyandangnya V Arumugam semalam.

Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi DUN berkenaan diperuntukkan kepada PKR, lapor Bernama .

"Kemungkinan besar kita ganti dengan calon keturunan India," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan anggota PKR Melaka di Cheng, malam tadi.

Arumugam, pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memenangi kerusi Bukit Selambau atas tiket bebas selepas mengalahkan calon BN S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi pada pilihan raya umum tahun lepas.

Beliau kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan Kedah dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan

Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Menurut agensi berita itu lagi, Anwar berkata Arumugam telah memaklumkan kepadanya dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai anggota exco dan anggota DUN Bukit Selambau.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi parlimen Bukit Gantang, Perak yang

bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum semalam, Anwar menyerahkan kepada PAS untuk menyenaraikan

calon yang sesuai daripada parti itu.

Beliau berkata Pakatan Rakyat memberi laluan kepada parti Islam untuk meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu.

ADS