PH 'kacang lupakan kulit', Razlan gesa bubar parlimen
Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii mencadangkan pembubaran parlimen sekiranya PH, terutama DAP, tidak lagi boleh menerima kepimpinan BN.
Dia yang juga setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemimpin PH sebagai "kacang lupakan kulit" kerana didakwanya tidak mengenang budi BN dalam pembentukan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.
"Eloklah dibubarkan sahaja sekiranya PH terutama DAP tidak lagi boleh menerima kepimpinan BN," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Razlan mengeluarkan kenyataan itu hari ini sebagai maklum balas terhadap wawancara Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam audio siar Explain Sikit, Kini! terbitan KiniTV yang disiarkan pagi tadi.
Dalam wawancara itu, Mohamad mencadangkan BN keluar daripada kerajaan sekarang tanpa menunggu pilihan raya umum sekiranya gabungan berkenaan tidak lagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mohamad turut mengaitkan keretakan hubungan kedua-dua gabungan dengan kritikan pemimpin BN terhadap Putrajaya berhubung isu pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta desakan pengampunan diraja buat bekas perdana menteri Najib Razak.
Dalam pada itu, Razlan berkata kerajaan masih mempunyai majoriti mudah jika sokongan 30 ahli parlimen BN diketepikan namun mendakwa PH melupakan peranan gabungan itu dalam pembentukan kerajaan Madani.
"Ya, ia benar apabila perkiraan tolak 30 (kerusi BN) masih ada majoriti mudah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/7ddf7f010a442773107008b0c87a3f1f.jpg)
"Benar dari sudut jumlah, tapi dari sudut pepatah Melayu ia ibarat kacang lupakan kulit. Setelah habis madu sepah dibuang, itulah PH yang sengaja melupakan asal penubuhan kerajaan perpaduan ini," katanya.
Razlan turut mendakwa PH melupakan persetujuan asal kerjasama kedua-dua gabungan dalam pembentukan kerajaan pada November 2022.
Pada PRU15, PH bersama sekutunya memenangi 82 kerusi parlimen manakala BN memperoleh 30 kerusi. Kerajaan perpaduan turut mendapat sokongan gabungan serta parti lain.
Menurut Razlan, pemimpin PH memperoleh jawatan menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kedudukan dalam pentadbiran hasil sokongan BN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/7f8a35f6389352e39ee654f1f94290db.jpg)
"Justeru itu, saya nasihatkan pemimpin PH untuk melihat cermin.
“Anda mendapat jawatan menteri, pengerusi GLC dan kedudukan dalam kerajaan, ia bukan daripada mandat rakyat, ia berkongsi ihsan daripada mandat rakyat yang diberikan kepada BN," katanya lagi.
Razlan turut mempertikaikan mandat langsung kerajaan semasa dan menyifatkan tempoh empat tahun sebagai sudah matang untuk pembubaran parlimen.
Pentadbiran Anwar akan genap empat tahun pada 24 November ini, berdasarkan tarikh dia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.
Hubungan PH dan BN semakin tegang susulan beberapa perkembangan politik, termasuk keputusan BN tidak meneruskan kerjasama dengan PH pada PRN Johor serta pakatan BN dengan PN pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka.
apabila bersandiwara dgn manusia yg tak cerdik...siapa yang tak kenang budi, yg cerdik pasti tahu...
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.