Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menerima kritikan daripada rakan dan lawan politik susulan kenyataannya di Facebook yang mengkritik dasar solat Jumaat di Terengganu, yang mewajibkan perniagaan ditutup selama dua jam.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Khoo mengkritik dasar itu dengan berkongsi gambar dua notis: satu dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dipamerkan di sebuah cawangan 7-Eleven manakala satu lagi daripada kedai serbaneka itu memaklumkan pelanggan mengenai penutupan sementara bagi membolehkan kakitangan Muslimnya menunaikan solat Jumaat.

“Di bawah pentadbiran MBKT, yang diselia oleh salah seorang calon perdana menteri masa depan, Dr Sam, semua premis perniagaan diarahkan menghentikan operasi setiap Jumaat dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, dengan semua aktiviti perdagangan dilarang,” tulis Khoo, mengkritik Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Mereka yang melanggar peraturan itu, jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM2,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, majlis bandaraya berkuasa membatalkan lesen perniagaan dan mengarahkan penutupan premis terbabit.

Hormat ibadah umat Islam

“Ini juga mencerminkan kesan dasar agama konservatif PAS terhadap pentadbiran awam selepas parti itu berkuasa. Apabila peraturan sedemikian dikenakan secara menyeluruh terhadap semua perniagaan, kebebasan berniaga dan cara hidup bukan Islam pasti terjejas, suatu perkembangan yang sepatutnya membimbangkan seluruh masyarakat,” tambah Khoo.

Katanya, walaupun dia menghormati ibadah solat Jumaat umat Islam namun dasar yang lebih menyeluruh diperlukan supaya operasi perniagaan bukan Islam tidak terjejas.

Sebagai konteks, dasar yang bermula pada 2014 itu mewajibkan pasar raya, restoran, kedai makan dan gerai makanan milik orang Islam ditutup selama dua jam ketika solat Jumaat.

Menurut penjelasan MBKT pada Januari 2024, premis makanan milik bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali jika menggaji pekerja Muslim yang mesti diberi masa untuk menunaikan solat Jumaat. Premis yang dikendalikan pekerja wanita boleh memohon kebenaran khas daripada MBKT untuk terus beroperasi.

Dalam kenyataan bersama hari ini, 13 ahli akar umbi DAP beragama Islam menegur Khoo atas pendapatnya itu.

Mereka kesal kerana Khoo sepatutnya memahami konteks setempat dan berbincang dengan pemimpin akar umbi DAP sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka. Mereka turut menegaskan dasar itu bukan perkara baru.

“Politik 'fear mongering' seperti ini, menakut-nakutkan rakyat, adalah budaya lama. Ia tidak membina dan akhirnya memakan diri.

“Kenyataan sebegini hanya merugikan DAP khususnya dan Pakatan Harapan amnya. Kita tidak mahu kenyataan pemimpin sendiri menjadi peluru dan bola tanggung kepada lawan untuk membina naratif negatif terhadap parti.

“Mengkritik dasar adalah hak setiap pemimpin. Namun, kritikan mesti bersandarkan fakta, kebijaksanaan dan kefahaman konteks setempat. Jangan sampai menegakkan benang yang basah lantas menghakis keyakinan rakyat terhadap perjuangan kita sendiri,” menurut kenyataan itu.

Secara berasingan, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli menuntut Khoo memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

“Kalau pun kita ada pendapat yang berbeza dalam menafsirkan asas kepada tertubuhnya satu undang-undang, ia tetap datang dari prinsip persetujuan majoriti; dalam konteks Negeri Terengganu, ia adalah mandat yang diberikan rakyat negeri itu kepada Legislatif dan Eksekutif mereka untuk menggubalnya. Maka kita wajib hormati mandat tersebut seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita.

“Kedua, dalam Islam, lelaki Muslim yang diwajibkan menunaikan Solat Jumaat juga dituntut untuk meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya. Kewajipan ini mempunyai sandaran nas yang jelas, antaranya melalui Surah al-Jumu’ah, ayat 9,” jelasnya.

Sementara itu, Exco Pemuda Amanah Nasional Fadhli Umar Aminolhuda mengingatkan Khoo bahawa arahan itu merupakan dasar pihak berkuasa tempatan yang mentadbir sebuah bandar dengan penduduk hampir keseluruhannya Melayu dan Muslim.

Sindir Samsuri

Dia berkata daerah Kuala Terengganu mempunyai 229,781 penduduk, manakala di peringkat negeri, Bumiputera membentuk 97.6 peratus penduduk Terengganu dengan Melayu sebanyak 95 peratus, berbanding Cina 2.1 peratus dan India 0.2 peratus.

“Dalam konteks ini, menghormati waktu solat Jumaat ialah perkara yang wajar dan selari dengan kehendak masyarakat setempat.

“Saya juga ingin bertanya, bagaimana YB Khoo boleh terfikir untuk membangkitkan isu ini sedangkan amalan yang hampir sama berlaku setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina? Ketika itu, sebahagian besar kedai di seluruh negara ditutup selama beberapa hari dan masyarakat Melayu menerimanya dengan hati terbuka tanpa sebarang rungutan,” katanya.

Senada dengan Adam, Fadhli turut menggesa Khoo menarik balik kenyataannya, memohon maaf dan memperbetulkan persepsinya mengenai isu itu.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia Mohamed Sukri Omar menyifatkan kenyataan Khoo sebagai biadab dan mencerminkan sikap tidak menghormati umat Islam.

“Saya menyifatkan cara saudara membawa isu ini sebagai biadab. Saudara melabel dasar itu sebagai kesan “conservative religious policies” sambil menyindir Dr Sam. Hormati tuntutan agama yang perlu diambil kira dalam pelaksanaannya.

“Saudara ialah Ahli Parlimen Kota Melaka. Mandat saudara di Melaka tidak memberi saudara kuasa untuk menentukan dasar pentadbiran Terengganu.

“Elok saudara dan DAP bermuhasabah. Pada PRN Melaka 14 November 2026, Pakatan Harapan hanya memperoleh 4 daripada 28 kerusi DUN. Ambil iktibar daripada keputusan itu,” tambahnya.

Khoo perjelas kritikan

Dalam hantaran Facebook berikutnya, Khoo berkata kritikannya menyasarkan penguatkuasaan menyeluruh arahan penutupan perniagaan, bukannya solat Jumaat atau amalan agama di Terengganu.

“Isu yang saya bangkitkan berkaitan penguatkuasaan dasar secara menyeluruh melalui surat rasmi MBKT yang mengarahkan semua premis perniagaan ditutup dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, termasuk premis bukan Islam, dengan ancaman denda RM2,000, hukuman penjara atau pembatalan lesen perniagaan.

“Soalan saya mudah: Adakah wajar jika penguatkuasaan seperti ini diperkenalkan di Melaka oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional-Perikatan Nasional? Jika dilaksanakan, apa akan berlaku kepada perniagaan yang diusahakan masyarakat pelbagai kaum di Melaka?” katanya.

Khoo berkata Melaka merupakan negeri berbilang kaum, agama dan budaya, maka unsur kepelbagaian serta kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan perniagaan mesti dipertimbangkan ketika menggubal sebarang dasar.

“Saya tidak berniat menyentuh sensitiviti agama atau memperlekeh amalan agama sesiapa. Saya sekadar membangkitkan persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaannya, yang turut menjejaskan masyarakat bukan Islam.

“Kita perlu menghormati kepercayaan dan amalan agama satu sama lain, sambil menjaga kepentingan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Melaka,” tambahnya.