Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amurugam 'berkorban' demi Pakatan di Kedah, kata PAS

PAS Kedah menyifatkan tindakan V Amurugam meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dan exco kerajaan Kedah sebagai "pengorbanan" demi mempertahankan Pakatan Rakyat.

"Kita percaya, beliau berkorban untuk kerajaan Pakatan Rakyat," kata setiausaha badan perhubungannya Muhamad Yusof Husin.

Menurutnya, selain tidak dapat menahan ugutan demi ugutan, bekas wakil rakyat PKR itu juga tidak mahu serangan peribadi terhadapnya berterusan ekoran dakwaan skandal seksnya boleh menjejaskan reputasi Pakatan Rakyat di Kedah.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau itu melepaskan kedua-dua jawatannya berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak dibuat serentak, sebaliknya pada dua majlis berasingan – satu di sebelah petang, manakala satu lagi malam.

Speaker DUN Dr Abd Isa Ismail dilaporkan berkata, Azizan telah menyembahkan perkara itu kepada Sultan Kedah semalam.

Speaker juga dijadualkan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini untuk memaklumkan kekosongan kerusi itu supaya pilihanraya kecil dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Muhamad Yusof yang juga senator mendakwa, walaupun Arumugam telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, beliau masih setia kepada Pakatan Rakyat dan PKR.

Ditanya kenapa Arumugam sendiri tidak tampil menghantar surat peletakan jawatannya itu, Mohamad Yusuf berkata, bekas exco itu mungkin tidak berani berhadapan dengan orang awam kerana "sangat malu" atas tindakan melepaskan tanggungjawabnya itu.

Ditanya kesahihan surat berkenaan, Mohamad Yusuf berkata: "Kita ada bukti bahawa surat itu benar."

Beliau menambah, surat itu diserahkan kepada pembantu menteri besar daripada pihak Arumugam.

Muhamad Yusof juga mendedahkan, beliau difahamkan, bekas Adun berada di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran terperinci tentang perkara itu.

Katanya, kali terakhir Arumugam dilihat bersama masyarakat dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri, Selasa lalu di Alor Setar.

ADS