Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis Perak: PM akan perjelas pada Majlis Raja-raja
Diterbitkan:  Feb 15, 2009 6:36 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjelaskan situasi politik negeri Perak kepada Persidangan Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat ini.

Abdullah berkata, terpulang kepada majlis berkenaan untuk membuat sebarang saranan atau keputusan berhubung perkara tersebut.

"Majlis Raja-raja bersidang setiap tiga bulan dan terpulang kepada Raja-raja untuk membincangkan perkara seperti ini. Saya juga akan hadir dan akan memaklumkan kepada sidang Raja-raja nanti peristiwa yang telah berlaku, apa sebab-sebabnya dan sebagainya, lapor Bernama.

"Soalnya apakah saranan Raja-raja nanti atau keputusan itu adalah terpulang kepada mereka, saya hanya bertanggungjawab untuk memberi maklumat tentang apa yang telah berlaku," katanya dalamsidang media selepas merasmikan Program Hutan Kita-Kiara di Taman Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, di ibunegara, hari ini.

Sementara di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar mahu merujuk beliau dan enam Exco kerajaan negeri yang baru kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Rabu ini, sebagai sesuatu yang pelik.

Beliau berkata kebiasaannya jawatankuasa berkenaan hanya bertindak terhadap wakil rakyat yang melakukan kesalahan semasa persidangan DUN.

Pakar perundangan

Bagaimanapun, Dr Zambry berkata beliau akan mendapatkan pandangan pakar perundangan sama ada perlu atau tidak menghadirkan diri bagi memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan.

Beliau mengulas pengumuman Sivakumar yang merujuk Zambry yang juga Adun Pangkor dan enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu, kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina Dewan.

Enam Exco berkenaan adalah Hamidah Osman (Sungai Rapat), Datuk Ramly Zahari (Manong), Dr Mah Hang Soon (Chenderiang), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Sivakumar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan semalam berkata notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah, Ramly, Dr Mah, Saarani, Mohd Zahir dan Zainol Fadzi telah dihantar pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.

Sivakumar berkata keputusan tersebut adalah ekoran surat aduan yang diterimanya dari Adun Canning Wong Kah Woh Khamis lalu, yang meminta supaya ketujuh-tujuh Adun Barisan Nasional (BN) tersebut dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina Dewan.

ADS