Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PAS di Bkt Gantang, PKR di Bkt Selambau
Diterbitkan:  Feb 15, 2009 6:38 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon mengikut parti yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan calon PKR di kerusi DUN Bukit Selambau, lapor Bernama.

"Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa yang sesuai sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan bengkel memperkasakan Pakatan di ibunegara hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V Arumugam dari PKR meletakkan jawatan Ahad lalu manakala pilihanraya kecil Parlimen Bukit

Gantang, Perak diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, dari PAS Isnin lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini. Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac depan.

Arumugam, yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, memenangi kerusi DUN Bukit Selambau atas tiket bebas, dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan P.Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

BN pilih anak tempatan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk memilih anak tempatan dari Umno untuk bertanding di Bukit Gantang.

Calon yang akan dipilih adalah dari kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat, katanya selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak

di ibu pejabat Umno Perak di Ipoh hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan...kita ada senarai panjang dan pendek. Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihanraya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihanraya umum lalu serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN meletak bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala dalam pilihanraya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh PKR.

ADS