Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di tengah-tengah kehebohan isu penyebaran gambar bogel exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong, PAS Selangor hari ini menekankan perlunya seorang pemimpin memiliki akhlak dan keperibadian yang baik sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan kepada rakyat jelata.

Dalam satu kenyataan hari ini, PAS Selangor mengutuk penyebaran gambar bogel Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan serta mengalu-alukan siasatan polis terhadapnya.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, PAS Selangor juga berpendapat, sekiranya siasatan mendapati "ada masalah kesalahan moral berlaku di pihak Elizabeth", tindakan yang bersesuaian perlu diambil terhadapnya "demi menjaga integriti dan nama baik Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor".

"PAS Selangor berpendapat bahawa seorang pemimpin perlulah memiliki akhlak dan keperibadian yang baik sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan kepada rakyat jelata.

"Oleh yang demikian, PAS Selangor menyeru kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya supaya sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku mereka dengan baik, agar dapat menghindarkan diri dari krisis moral yang boleh mengancam kestabilan Pakatan Rakyat di negeri Selangor," tambah kenyataan tersebut.

Kelmarin, Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.

Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Pagi ini, Elizabeth menawar untuk meletakkan jawatan exco dan Adun Bukit Lanjan.

ADS