Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

kemaskini 3.28pm Umno digesa menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan hujung bulan ini sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap amalan politik wang dalam parti itu selesai.

umno mazlan haron kadar sulaiman pc money politics 030309 04 Bekas exco Pemuda, Datuk Mazlan Haron dan perwakilan Umno Muar, Datuk Kadar Sulaiman berkata mereka sedia memohon injunksi daripada mahkamah bagi menghalang perhimpunan itu jika saranan itu diabaikan oleh parti.

"Saya serta Datuk Mazlan akan mengkaji untuk mengambil injuksi mahkamah sekiranya Umno belum habis menyelesaikan kes salah laku dan politik wang sebelum persidangan diadakan, dan juga segala permintaan-permintaan saya seperti yang disebutkan di atas tidak diambil tindakan," kata Kadar.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini, mereka bagaimanapun tidak menyatakan bila tindakan undang-undang itu akan diambil bagi "melihat reaksi" balas daripada parti itu terlebih dahulu.

Kedua-duanya juga mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilaporkan menyebut siasatan salah laku dan politik wang dalam Umno telah ditutup setelah SPRM menutup 45 aduan.

umno mazlan haron kadar sulaiman pc money politics 030309 01 "Persoalan saya, bagaimana beliau (Abdullah) yang menentukan bahawa segala laporan dan kes tersebut ditutup sedangkan saya sebagai salah seorang pengadu bersama Datuk Mazlan tidak langsung dipanggil memberi keterangan," kata Kadar.

Kadar juga berkata, laporan mereka kepada SPRM (dulu dikenali BPR) berhubung dakwaan politik wang dan penyalahgunaan kuasa terhadap Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak yang dibuat pada 4 September lalu "tidak ada maklum balas positif".

Beliau juga mempertikan kewajaran Umno membawa amalan politik wang kepada SPRM "sedangkan perlembagaan Umno mengatakan bahwa ahli-ahli Umno tidak boleh dibawa ke mahkamah".

Mazlan pula menjelaskan, tindakan mereka bukan bertujuan menghalang kelancaran peralihan kuasa Umno Najib dengan alasan "peralihan kuasa boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja".

Ditanya sama ada Umno masih mempunyai masa bagi menangguhkan persidangannya buat kali kedua, beliau berkata, Umno boleh merayu kepada Pendaftar Pertubuhan bagi tujuan itu.

Umno menunda persidangan tahunan dan pemilihannya dari Disember tahun lalu ke bulan ini bagi mempercepatkan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib.

umno mazlan haron kadar sulaiman pc money politics 030309 02 Pemilihan sebelum itu pernah ditangguh bagi mempersiapkan parti menjelang pilihanraya umum lalu.

Mazlan berkata mereka bersedia menerima tindakan Umno akibat membuat desakan sedemikian.

"Saya tidak kisah dibuang parti. Banyak lagi pembangkang yang tunggu. Kami lakukan ini pun sebab sayangkan parti," kata Mazlan, seorang ahli Umno di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ditemui selepas sidang akhbar itu, Kadar berkata sebagai perwakilan Umno bahagian, beliau akan tetap menghadiri perhimpunan agung mulai 24 Mac jika desakan mereka tidak dipedulikan.

ADS