Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyanyi Zubir Ali meninggal dunia
Diterbitkan:  Mar 6, 2009 7:25 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Komposer dan penyanyi Zubir Ali, 60, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara pada jam 10.30 pagi tadi akibat komplikasi jantung.

zubir ali Allahyarham, yang merupakan bekas vokalis kumpulan Harmoni dan terkenal dengan lagu hit mereka, "Penantian", dimasukkan ke hospital berkenaan kerana menjalani pembedahan pintasan jantung Jumaat lalu.

Anak bongsunya, Raihan Rani, 23, berkata bapanya tenat sejak pagi tadi apabila mengalami tekanan darah yang tidak normal.

"Sejak semalam dia dah mula sakit. Tetapi pada jam 6 pagi tadi, tekanan darahnya turun dengan mendadak.

"Alhamdulillah kami sekeluarga sempat berada di sisinya sehingga ayah disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Seksyen 14 Petaling Jaya di mana jenazah allahyarham, dimandi dan dikafankan selepas solat Jumaat petang tadi.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Asar.

Sambil melahirkan rasa terkejut, rakan baiknya, komposer dan penyanyi, M Nasir, berkata pemergian Zubir merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanahair.

"Kami sepatutnya bertemu dalam satu mesyuarat semalam tetapi dia tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan," katanya yang mengenali Zubir sejak mereka sama-sama berkecimpung dalam industri hiburan.

"Kami telah berkawan lebih 20 tahun. Saya ingat lagi ketika awal tahun 80an di mana Zubir dan kumpulannya begitu popular melalui lagu Penantian," katanya.

Zubir, anak kelahiran Alor Star, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

ADS