Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terkejut dengan keputusan FAM memotong enam mata daripada pasukan itu sehingga mengakibatkan mereka dilucutkan gelaran naib juara Liga Super 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hassan berkata tindakan itu berikutan isu pampasan dan gaji bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji, tidak sepatutnya berlaku kerana pihaknya telah menamatkan kontrak pemain terbabit mengikut prosedur betul.

"Bukti penamatan khidmat pemain itu iaitu borang C06 telah diserahkan kepada FAM dan penamatan kontrak tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak tanpa sebarang syarat dan tuntutan.

"Borang itu juga telah ditandatangani sendiri oleh pemain berkenaan dan beliau bersetuju dengan terma penamatan kontraknya bersama pasukan Pahang.

"Kita telah menyerahkan borang itu kepada FAM. Jika tidak bagaimana kita boleh membawa masuk pemain import lain iaitu Matias Ruben Conti untuk bersama Pahang ketika jendela perpindahan kedua," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tindakan itu amat mengecewakan kerana ia juga menyebabkan skuad Tok Gajah gagal beraksi pada Piala AFC 2016, selain berkemungkinan diturunkan ke Liga Perdana musim depan, jika gagal membayar pampasan kontrak berjumlah RM526,000 kepada pemain itu dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah sebelum ini mengumumkan Selangor layak secara automatik ke Piala AFC musim depan, selepas skuad Tok Gajah yang muncul naib juara Liga Super 2015, didapati bersalah oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung kes tersebut.

Pahang dipotong enam mata, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga ketiga Liga Super 2015.

Fahrizal berkata PBNP kini menunggu penjelasan daripada badan induk bola sepak negara, sama ada borang tersebut sudah dikemukakan kepada Fifa atau sebaliknya.

"Kami juga amat terkejut dengan jumlah yang dituntut oleh Mohamed Borji sedangkan satu persetujuan telah dicapai pada ketika itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS