Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KJ andai persaraan pemain mungkin berkait komen TMJ

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengandaikan isu persaraan beberapa pemain bola sepak kebangsaan ‎mungkin berkaitan dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini.

Ia susulan pemain JDT itu dikatakan cedera selepas kembali daripada skuad kebangsaan pada siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.

‎"Ini satu perkembangan yang agak serius dan saya melihat kenyataan yang dibuat Tunku Mahkota Johor baru ini, berkenaan kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain daripada JDT mungkin mendorong kepada keputusan yang telah dibuat oleh beberapa pemain.

"Apa pun saya berharap pemain tempatan menganggap peluang untuk mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan besar dan saya harap mereka tidak buat keputusan yang secara terburu-buru tanpa melihat kepada penghormatan yang datang daripada mewakili negara.

"Lebih-lebih lagi apabila kita berdepan dengan satu kejohanan besar pada akhir tahun ini iaitu Kejohanan Piala AFF Suzuki," katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di Kuala Lumpur hari ini.

Empat pemain skuad Harimau Selatan iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S Kunalan telah mengumumkan persaraan mereka dari skuad Harimau Malaysia.

Khairy berkata, beliau akan cuba menghubungi pihak JDT untuk memahami apakah sebenarnya maksud kenyataan TMJ.

"Mungkin ada isu di sebalik persaraan ini, saya hanya dapat buat andaian hari ini mungkin isu itu berkait dengan komen yang dibuat TMJ.

"Tugas saya untuk mencari penyelesaian sama ada dapat kita melihat kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh TMJ itu dapat di atasi.

"Sekiranya boleh diatasi kita dapat memilih barisan pemain terbaik untuk Piala AFF Suzuki nanti. Kita masih ada masa, saya harap kita dapat siasat dengan lebih mendalam lagi isu-isu yang dibangkitkan (TMJ)," katanya.

Katanya, sekiranya itu pandangan berdasarkan kepada pengalaman yang dihadapi pemain kebangsaan, maka perlu dibuat perubahan pada sesi latihan pasukan kebangsaan.

"Bagi masa kepada saya untuk buat kajian lebih mendalam lagi apa yang sebenarnya jadi masalah dan saya harap kita jangan cepat menghukum mana-mana pihak.

‎"Saya sedang cuba berhubung dengan TMJ hari ini kalau dapat saya bercakap dengan beliau untuk gambaran lebih jelas dan saya juga akan tanya kepada jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan FAM, apakah betul apa yang ditulis dan dibangkitkan," katanya.

Lihat Komen
ADS