Transformasi digital dengan perlindungan Takaful bersama dan manfaat
khairat
Kegembiraan bersama keluarga mungkin tidak akan berpanjangan apabila ketua
keluarga pergi meninggalkan kita buat selamanya. Pengurusan jenazah pada masa
kini sering menjadi rumit apabila waris jenazah tidak mempunyai dana yang
mencukupi untuk menguruskan majlis pengebumian dengan kos pengurusan yang
semakin meningkat.
PruBSN Takaful telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia dengan menyediakan kemudahan pengurusan jenazah dan manfaat khairat melalui pelancaran aplikasi PruBSN Aman pada 24 November 2020. PruBSN Aman adalah aplikasi mudah alih terbaharu dan pertama di Malaysia berlandaskan konsep takaful “ta’awun” bererti pertolongan bersama dan peer-to-peer (P2P) dengan bantuan perlindungan dan manfaat khairat mudah, telus dan berpatutan kepada mereka yang menyertainya.
Konsep unik ini mengetengahkan konsep bantuan bersama yang memanfaatkan peserta secara optimum dan berkekalan di mana apabila semakin ramai menyertai komuniti tersebut, perlindungan di kalangan peserta semakin kukuh. Peserta hanya perlu melengkapkan pendaftaran ringkas dengan sumbangan pembayaran pendahuluan sebanyak RM120. Dari nilai pendaftaran tadi, RM30 akan dikenakan sebagai caj wakalah pendahuluan dan baki RM90 akan dimasukkan terus ke dalam Akaun Bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail ditanya mengenai kelebihan aplikasi ini dan bagaimana ia dilaksanakan, beliau menjelaskan, “Kematian tidak dapat dielakkan dan boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu, kami ingin memastikan kemudahan dan ketenangan fikiran pelanggan dan keluarga mereka ketika mereka berdepan situasi paling sukar. Pelancaran PruBSN Aman bertepatan dengan inisiatif kami dalam mempercepat transaksi digital dan tanpa sentuhan seperti yang diperlukan dalam kebiasaan baharu. Aplikasi ini juga membawa perubahan dalam memperkasakan konsep perlindungan bersama dan saling membantu dengan menjadikan perkhidmatan takaful dan pengebumian lebih inklusif, telus dan berpatutan untuk semua.”
“Sekiranya peserta meninggal dunia, pihak pewaris berhak menerima perlindungan nyawa sebanyak RM7,000, berserta pakej manfaat khairat jika penama ingin menggunakan khidmat pengebumian yang disediakan oleh MyAngkasa Mukmin. Walau bagaimanapun, seandainya perkhidmatan pengurusan pengebumian tidak diguna pakai atau penama ingin membuat urusan pengebumian sendiri, pihak penama akan menerima jumlah penuh sebanyak RM10,000.”
Menurut kajian yang dilaksanakan oleh penuntut INCEIF, Dr. Magda Ismail Abdel Mohsin yang mengatakan bahawa, “62 peratus dari peserta kajian masih tidak mengetahui dan mempunyai dana khairat kematian ini dan hanya 38 peratus sahaja yang tahu dan memilikinya. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih ketinggalan dalam membentuk dana khairat kematian. Kajian ini juga mendapati bahawa 78 peratus masyarakat Islam di Malaysia terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menguruskan jenazah apabila kematian berlaku oleh kerana dana yang disediakan oleh pihak Masjid tidak mencukupi.”
Menariknya mengenai aplikasi ini yang bekerjasama dengan MyAngkasa Mukmin dalam membantu mereka menguruskan pengebumian secara mudah, Mohd Yusni Hj Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Mukmin berkata, “Kami mempunyai lebih dari 3,000 orang pengurus jenazah yang bertauliah di serata Malaysia melalui masjid dan surau yang akan membantu keluarga untuk mendapatkan akses bantuan ini dengan cepat. Pewaris boleh mengemukakan tuntutan manfaat kematian dari jarak jauh menerusi aplikasi tersebut dan menghubungi MyAngkasa Mukmin dengan mudah di talian 1-800-38-7777 untuk mendapatkan bantuan pengebumian. Melalui aplikasi ini juga, MyAngkasa Mukmin turut menawarkan perkhidmatan penghantaran jenazah dalam negeri dengan mudah.”
Aplikasi PruBSN Aman ini membolehkan para pengguna melihat terus statistik jumlah peserta, jumlah tuntutan dan baki Akaun Bersama dengan kadar segera di masa nyata, dan pada masa yang sama bagi memastikan transaksi pembayaran lancar, peserta boleh menyimpan butiran kad debit/kredit mereka di aplikasi tersebut.
Majlis pelancaran yang diadakan secara digital menerusi aplikasi Zoom juga disertai oleh tiga panelis utama yang membincangkan mengenai pendekatan dana khairat yang acapkali menjadi isu semasa apabila masyarakat banyak terlepas pandang pentingnya mempunyai dana khairat kematian ini. Bagi mereka yang berminat mengenai produk baharu dari PruBSN Takaful, bolehlah memuat turun aplikasi PruBSN Aman di Google Playstore dan Apple App Store, atau melayari laman web: https://www.prubsn.com.my/ms/protection/prubsn-aman/
