Mi Segera VIT’S sah halal sejak 1980
Pengeluar makanan berasaskan mi segera jenama VIT'S memenuhi piawaian halal dan selamat dimakan.
Menjelaskan isu yang tular di media sosial baru-baru ini, Pengarah Pembangunan VIT’S, YT Lai berkata, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1975 itu memiliki perakuan sijil Halal Malaysia sejak 1980-an.
Justeru katanya, VIT’S memberi jaminan bahawa produk yang berada di pasaran adalah memenuhi piawaian halal dan selamat untuk dimakan.
"Maka pengguna boleh terus mengguna produk kami tanpa ragu-ragu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat yang lepas.
Beliau berkata, premis VIT'S dilawati oleh pegawai Unit Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk pemeriksaan berkala pada September tahun lepas.
"Pemeriksa telah mengutarakan isu-isu teknikal yang berkaitan dengan kebersihan di bahagian pemprosesan seperti peralatan tidak disimpan, kelalaian pekerja, mesin tidak digunakan tidak bertutup, dijumpai putung rokok di kawasan bukan untuk merokok, serta seorang pekerja berkuku panjang.
"VIT’S telah mengambil tindakan sewajarnya untuk penambahbaikan terhadap isu-isu yang telah diutarakan oleh pihak JAIS dan sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan semula oleh JAIS," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Halal VIT’S, Chumihati berkata, VIT’S merupakan salah satu daripada 300 syarikat yang menunggu giliran untuk diperiksa.
“Kami akur dengan giliran yang ditetapkan memandangkan situasi pandemik yang membataskan jadual pegawai JAIS untuk membuat pemeriksaan buat masa ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjalankan lawatan dan pemeriksaan ke atas premis VIT’S pada 6 Januari lalu.
Katanya, pihak syarikat dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan produk pengeluaran bertarikh terkini ke pasaran sehingga mendapat kelulusan daripada JAIS.
"Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai lebih dari 50 peratus jumlah pekerja berbangsa Melayu dan beragama Islam, VIT’S amat mementingkan piawaian halal yang mengutamakan faktor kebersihan.
"VIT’S juga bekerjasama dengan JAIS dan KPDNHEP untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin. VIT’S memahami kepentingan keperluan halal dan memandang serius terhadap perkara ini," katanya.
Justeru katanya, VIT'S memohon orang ramai untuk menghentikan penyebaran sebarang maklumat palsu yang boleh mengundang salah faham.
Beliau berkata, pengguna boleh berurusan terus kepada VIT’S untuk sebarang pertanyaan dan mendapatkan status terkini di portal rasminya di www.vitsnoodles.com

