Lantunan suara Anwar dendang lagu Hindi tuai pujian, tular di India
Kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi misi diplomasi peringkat tertinggi di New Delhi turut mencuri tumpuan berbeza selepas dia membawakan lagu klasik Hindi Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat dendangan asal penyanyi legenda, Kishore Kumar, menerima reaksi positif ramai rakyat India.
Persembahan spontan yang dimuat naik di beberapa media sosial dan kemudiannya tular menarik perhatian mereka yang menghargai pilihan lagu itu serta kesudian Anwar berkongsi detik santai di sela jadual padat beliau di Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 sekarang.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran klip video berdurasi 92 saat itu mencatat 650,000 tontonan di platform X selain turut mendapat reaksi positif di platform media sosial lain.
“(Perdana Menteri Anwar), anda menyanyikan lagu klasik oleh penyanyi legenda India Kishore Kumar dan jujurnya, anda juga tidak kurang hebatnya,” kata Biswajit Roy di platform media sosial X menerusi @roybiswajit2010.
“Apabila (ada) pemimpin dunia bertandang ke India dan mendendangkan lagu, ini seolah-olah menyaksikan dunia menyanyikan rentak India,” katanya.
Piyush Morade pula berkata: “Ini sungguh menarik. Pilihan lagu yang sebegitu indah dan dinyanyikan sebegitu semangat. Sungguh menarik PM @anwaribrahim.”
Pandangan sama turut dilontarkan oleh Soumik Dutta Roy menerusi X di akaun @dutta_soum7132.
“Nyanyian anda memang hebat...kehidupan ini ibarat lagu yang ada pelbagai nada dan rentak. Kami sukakannya dan ini mungkin antara detik manis BRICS bagi episod 2026,” katanya.
Haliza Jeffry pula meninggalkan komen “Slay” yang disertakan dengan emoji api di platform Instagram.
Dalam kalangan ramai rakyat India, lagu-lagu malar segar Kishore bukanlah sesuatu yang asing dan pilihan lagu serta dendangan Anwar itu disifatkan sebagai kejutan manis yang mengimbau nostalgia terhadap tarikan tersendiri penyanyi legenda berkenaan.
Lagu runut bunyi popular filem Hindi Teen Devian pada 1965 yang juga antara lagu klasik Hindi paling digemari manakala nyanyian Anwar dilhat sebagai bukti peranan muzik sebagai penghubung Malaysia dan India.
Di sebalik jadual padat mesyuarat dan pertemuan dua hala serta perbincangan sidang kemuncak mendominasi lawatan Anwar ke New Delhi, dendangan itu juga menyerlahkan sisi bahawa diplomasi boleh melangkaui meja rundingan dan diterjemahkan dalam bentuk lantunan lagu secara santai.
- Bernama
/file/attachments/orphans/hidus_659172.jpeg)
