McDonald's Malaysia hari ini meraikan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi 2021, sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan tahun ini.
Anugerah yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya menerima lebih 4,000 pencalonan daripada rakyat Malaysia sejak 2 April hingga 18 April 2021. Daripada semua pencalonan guru luar biasa di seluruh negara, seramai 25 guru dipilih sebagai penerima anugerah.
"Anugerah Guru Inspirasi menjadi platform untuk mengetengahkan golongan pendidik sebagai insan luar biasa dan wira dalam kehidupan seharian kita," kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia.
“Kami menerima pelbagai kisah menarik mengenai guru-guru yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau ‘go the extra mile’ untuk memupuk minda generasi muda dan membina asas kukuh yang akan membentuk masa depan mereka. Kisah-kisah yang kami terima menceritakan dedikasi dan komitmen tidak berbelah bahagi guru-guru ini dalam melaksanakan tugas harian mereka, sama ada besar atau kecil, yang membentuk keseluruhan profesion mereka,” tambah Azmir.
Menurut Azmir, banyak pencalonan tahun ini mengisahkan kekuatan dan ketabahan para guru dalam mendepani keadaan pandemik semasa, dengan menerapkan kreativiti dan kesungguhan untuk terus berhubung dengan pelajar mereka serta memastikan supaya tidak ada pelajar yang tercicir dalam pelajaran. Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang interaktif dan menyediakan alat yang mencukupi untuk pelajar ketika mereka belajar dari jarak jauh.

Salah seorang penerima anugerah, Cikgu Nur Fadhlina dari SK Gopeng Taman Gopeng Baru di Perak memanfaatkan YouTube sebagai platform untuk mengajar para pelajar beliau dan memberi tips kepada guru lain yang berhasrat menghasilkan video sebagai bahan pengajaran. Saluran YouTube beliau @LinnZack kini mendapat langganan daripada lebih 19,000 orang.

Seorang lagi penerima anugerah, Cikgu Ling Fong dari SMK Datuk Peter Mojuntin di Sabah, mengajar pelajar-pelajar berkeperluan khas yang mengalami masalah pendengaran. Cikgu Ling tidak tahu bahasa isyarat ketika beliau mula-mula ditawarkan untuk mengajar pendidikan khas. Walaupun begitu, beliau bekerja keras dan tidak segan untuk belajar menguasai bahasa isyarat bagi membolehkan beliau menyampaikan ilmu kepada murid-murid kurang upaya pendengaran di sekolah tersebut. Memandangkan sekolah ditutup semasa pandemik dan pembelajaran berjalan secara dalam talian, Cikgu Ling Fong membuat rakaman pengajaran dengan menggunakan bahasa isyarat dan memuat naik semua rakaman itu di YouTube untuk manfaat para pelajar beliau. Selain itu, beliau juga menggalakkan para pelajar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan bagi meningkatkan keyakinan mereka, terutamanya yang diadakan secara dalam talian semasa pandemik.
"Kisah-kisah ini hanyalah sebahagian daripada pengorbanan besar dan dedikasi golongan pendidik. Banyak persiapan dan buah fikiran diperlukan untuk menyampaikan idea-idea baharu, seperti bahan pengajaran yang berkesan untuk pembelajaran jarak jauh, dan pada masa sama mengekalkan minat anak-anak kita. Ini adalah tanggungjawab besar, dan guru-guru yang kita raikan hari ini menggalas tugas berat ini dengan bersemangat dan sepenuh jiwa raga,” kata Azmir.
Para penerima anugerah dipilih oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari McDonald's, Kementerian Pendidikan, dan media.
Kisah-kisah pencalonan untuk 25 penerima anugerah boleh didapati di www.mcdonalds.com.my/bm/anugerahguruinspirasi/winners/2021. Tonton video penerima-penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 di https://www.youtube.com/watch?v=jrev4Oh8qA4.
Setiap seorang daripada 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 menerima wang tunai berjumlah RM5,000, manakala pencalon mereka pula menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.
