Di sebalik realitinya Najib Razak berada di sebalik tembok tebal penjara, semangat dan sosok bekas perdana menteri itu tetap dirasakan di sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur tempat Umno mengadakan perhimpunan tahunan mereka hari ini.

Dia yang banyak diingat orang dengan panggilan Bossku ‘muncul’ dengan segak di bangunan Ibu Pejabat Umno tersebut, malah disambut dengan meriah oleh perwakilan serta pemerhati.

‘Najib’ kelihatan tampan mengenakan sut hitam lengkap bertali leher merah jambu.

Belum sempat dia ‘bergerak’ jauh, beberapa wanita berbaju merah segera menghampiri untuk bergambar bersama.

Ada yang memeluk sosok bekas Ahli Parlimen Pekan itu sambil tersenyum lebar ke arah kamera, manakala perwakilan lain mengangkat ibu jari sebagai tanda sokongan.

Namun, ‘Najib’– di sebalik senyuman lebarnya – sekadar berdiri kaku.

Hal itu kerana yang muncul di WTC Kuala Lumpur itu sekadar standee atau papan berdiri bersaiz hampir sama tinggi dengan Najib sebenar. Menyertai imej itu ialah gelembung dialog bertulis: “Hai! Rindu saya ka?”

Ketika dibawa menyusuri ruang legar WTC Kuala Lumpur, standee berkenaan beberapa kali ‘ditahan’ oleh perwakilan yang mahu merakam video atau mengambil gambar kenang-kenangan.

Pernah naik LRT

Dari depan, ia kelihatan seperti Najib sedang berjalan bersama penyokongnya. Apabila dipusingkan, bahagian belakangnya hanya memperlihatkan kepingan putih yang diusung dengan kedua-dua belah tangan.

Standee itu kemudian dibawa ke suatu sudut yang menempatkan potret besar Najib.

Di situ, pemiliknya, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kota Raja, Mohd Azhar Osman, berdiri bersama dua gambaran Najib – potret rasmi pada dinding dan standee yang dibawanya dari Klang.

Azhar berkata dia pada mulanya tidak bercadang untuk membawa standee tersebut ketika datang ke PAU.

Namun, dia menukar fikiran selepas berasa kecewa dengan perkembangan terkait pengampunan Najib pagi tadi.

“Hari ini saya balik ke rumah, ambil gambar dia dari Klang dan patah balik ke WTC,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Menurut Azhar, ‘Najib’ turut disambut dengan sorakan ketika dibawa dari kawasan Sunway Putra menuju ke tempat persidangan berlangsung.

“Semua ahli Umno bersorak gembira dan mendoakan agar Datuk Seri mendapat keadilan yang sebaiknya serta pengampunan,” katanya.

Dia juga berkata tindakannya hari ini bukan bertujuan mengecam mana-mana pihak, sebaliknya sekadar menunjukkan solidariti dan sokongannya terhadap Najib.

Ini bukan kali pertama standee tersebut dibawa menemui orang ramai.

Sebelum ini, kata Azhar 'Najib' itu pernah dibawa menaiki LRT3 bersama kira-kira 100 individu yang memakai topeng wajah Najib.

“Ini dari LRT3 (pada 19 Julai lalu) sampailah ke WTC. Jauh perjalanan dia,” katanya lagi.

Ditanya sama ada standee itu dibuat mengikut ketinggian sebenar Najib, Azhar berkata dia percaya saiznya adalah lebih kurang sama dengan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu.

“Memang kami minta cetak sama tinggi dengan Datuk Seri,” katanya.