Umno N Sembilan: 'Kalau order lain dapat lain ni kita boleh minta refund'
Umno Negeri Sembilan hari ini secara terbuka menggesa Menteri Besar, Ismail Lasim, dan barisan exco negeri itu meletakkan kepentingan parti di hadapan berbanding hal-hal lain.
Menegaskan isu itu, Ketua Umno Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, juga mengingatkan pemimpin negeri terbabit supaya agar tidak lupa mereka berada di kedudukan sekarang kerana parti tersebut.
Pada masa sama, dia yang juga Ahli Parlimen Tampin menegaskan Umno boleh menggantikan mereka jika gagal mengutamakan parti – satu kenyataan yang secara tersirat merujuk kepada pelantikan Ismail sebagai menteri besar yang bulan pilihan asal.
“Ini order (pesan) barang lain, dapek (dapat) barang lain,” katanya berseloroh namun menghantar isyarat terhadap kedudukan Ismail semasa membahaskan ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, Mohd Isam juga memberitahu Umno mengakui bahawa apa yang berlaku tertakluk kepada rezeki seseorang.
Pun begitu – mengambil konteks gurauan pesanan barangan secara dalam talian – Mohd Isam berkata jika keadaan itu terjadi, ‘pengguna’ berhak membuat aduan kepada tribunal.
“Kalau kita order barang, barang yang dapat tak betul, kita laporkanlah pada tribunal tuntutan pengguna, kita boleh tukar, kita boleh dapat refund (bayaran balik) tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Dia juga memuji Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalauddin Alias, kerana sentiasa tenang dan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya.
Difahamkan, Mohd Isam merujuk kepada situasi yang membawa kepada pelantikan Ismail yang juga Adun Juasseh sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri pada awal Ogos lalu.
Ismail merupakan Ketua Umno Kuala Pilah dipilih untuk menerajui pentadbiran negeri menggantikan menteri besar dari PH, Aminuddin Harun.
Asalnya nama Jalaluddin disebut-sebut sebagai calon menteri besar.
Dalam ucapan sama, Mohd Isam turut menasihatkan kerajaan negeri agar menghargai ahli-ahli parti yang membantu Umno mencapai kemenangan dalam PRN lalu, khususnya Wanita.
“Sesudah berkuasa ni, tengok-tengoklah, perkasakanlah Umno di peringkat cawanagn dan juga bahagian.
“Jangan ulangi kesilapan lalu, apabila hilang kuasa semua aset dan harta benda pun tak ada lagi,” katanya.
Tambah Mohd Isam, kerajaan negeri negeri perlu memberi peluang kepada Wanita Umno selepas mereka berpenat lelah memastikan pengundi keluar untuk memenangkan parti berkenaan.
Balasan itu, katanya, bukanlah sehingga menjadikan mereka menjadi calon pilihan raya sebaliknya untuk dilantik menjadi ahli majlis kerajaan tempatan atau ketua kampung.
“Mengapalah berkira benar? Berilah peluang kepada wanita-wanita Umno ni,” katanya.
/file/attachments/885/afternoon12_952329_915179.jpg)
