Bantuan tambahan PEMERKASA+ imbangi keperluan kesihatan dan ekonomi
Tempias COVID-19 yang bertubi-tubi setahun lebih ini membawa cabaran getir sosioekonomi yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Ramai yang hilang kerja, gaji dipotong, bisnes gulung tikar, hutang melambung, malah ada yang kehilangan orang tersayang.
Mengharungi cabaran PKP 3.0
Mereka yang terkesan teruk termasuklah peniaga-peniaga kecil yang serba kekurangan. Tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiga kali perniagaan mereka terjejas.
“Dari PKP pertama hingga PKP 3.0 kesemuanya banyak menjejaskan perniagaan saya,” beginilah luahan hati Nik Shazrie Mohamad Zainal Rashid, peniaga pakaian di Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Saya terpaksa menghentikan pekerja saya selain menanggung kos sewa premis dan komitmen bulanan yang lain seperti sewa rumah, ansuran pinjaman kereta, bil utiliti dan kos hidup harian” sambung beliau yang mula berniaga di bazar tersebut semenjak tahun 2009.
Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+)
Memahami kesusahan peniaga-peniaga kecil dan pengusaha mikro, kerajaan membuat keputusan menambahbaik bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang dikenali sebagai GKP 3.0, dengan tambahan RM500 ke atas RM1,000 yang diumumkan sebelum ini – menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM1,500 bagi setiap penerima (RM1,000 disalurkan dalam bulan Jun manakala RM500 lagi dalam bulan Julai). GKP 3.0 merupakan pelanjutan kepada GKP 1.0 dan GKP 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini (sebanyak RM3,000 masing-masing). GKP 3.0 memanfaatkan kira-kira sejuta PKS dan pengusaha mikro termasuk peniaga kecil dan penjaja jalanan.
PEMERKASA+ yang bernilai sejumlah RM40 bilion turut membuat peruntukan tambahan sebanyak RM2.1 bilion bagi program bantuan langsung Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk manfaat golongan B40.
“Saya menyokong dan bersetuju dengan inisiatif PEMERKASA+ yang bertujuan membantu peniaga kecil seperti kami kerana bantuan ini dapat meringankan beban peniaga bagi menampung kehidupan keluarga,” kata Nik sambil berharap bantuan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana pemulihan ekonomi akan memakan masa memandangkan kuasa beli pengguna yang agak lemah ketika ini.
Pinjaman Mudah untuk PKS dan pengusaha mikro

Berjinak dengan platform dalam talian (online)
Sebagai perancangan jangka panjang, Nik kini mula mengubah cara perniagaan beliau dengan menggunakan platform dalam talian (online) untuk mempromosikan produknya melalui saluran e-dagang digital dan Facebook.
Wawasannya turut dikongsi Tuan Haji Md Ibrahim Marican, Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju, di mana beliau menyeru para peniaga menggunakan saluran online untuk menjana pendapatan sebagai langkah alternatif.
“Kami faham bahawa bagi peniaga yang telah berusia seperti saya, bertukar daripada face to face kepada online adalah agak mencabar. Walau bagaimanapun, kami perlu berubah dan mencuba ilmu baru dengan berniaga online,” ujar beliau yang masih memerlukan bimbingan untuk mendalami bidang perniagaan online supaya dapat bersaing secara kompetitif dengan memetik contoh e-BizClinic yang disediakan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Ibrahim Marican turut mengharapkan pelanjutan kemudahan moratorium untuk meringankan beban mereka buat masa ini kerana masing-masing mempunyai hutang tertentu yang perlu ditanggung seperti pinjaman rumah dan kereta.

Positif dan tabah berusaha
Ibrahim Marican turut merakamkan kata-kata semangat untuk kesemua sahabat peniaga agar terus tabah menghadapi ujian yang begitu sukar ini.
“Kita perlu sentiasa bersikap positif dan melihat ke hadapan dengan usaha lebih gigih untuk mencari jalan menjana pendapatan walaupun sedikit supaya kita tidak ketinggalan,” ujar beliau.
Persediaan lebih teratur
Mengulas mengenai pelbagai inisiatif termasuk PEMERKASA+ yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata:
“Setiap keputusan yang diambil kerajaan mempunyai trade off (kompromi) tertentu kepada ekonomi dan ini tidak dapat dielakkan. Mengimbangi keperluan sektor kesihatan dan ekonomi pada masa yang sama merupakan satu pertimbangan yang amat sukar.”
“Strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan timeline (garis masa) and indicator (ambang) tindakan seterusnya (berdasarkan situasi jangkitan semasa, kapasiti di ICU dan peratus vaksinasi) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini boleh dijadikan satu panduan untuk membuat persediaan seterusnya termasuk pembukaan ekonomi sepenuhnya apabila jangkitan berjaya dikawal,” sambung beliau.
Program vaksinasi memacu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi
Tambahan pula, menurut beliau, dengan andaian pertumbuhan ekonomi tahun hadapan yang lebih meyakinkan serta pencapaian vaksinasi 80% populasi Malaysia seawal hujung tahun, peluang pertumbuhan perniagaan nampak cerah apabila keadaan kembali normal dan bertambah baik.
“Dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi kita ini, kerajaan cekal membantu dan memudahcarakan pelbagai bantuan dan penambahbaikan untuk memastikan kelangsungan peniaga dan isi rumah. Semua pihak perlu bekerjasama dan terus berusaha mencari jalan penyelesaian untuk keluar daripada kemelut ini. Jadi, kerajaan dan rakyat masing-masing mempunyai peranan penting dalam situasi ini demi kesejahteraan bersama,” ujar Dr Afzanizam.

Untuk mengetahui bagaimana anda boleh mendapat manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan, sila klik pautan Manfaat Belanjawan 2021.

