Program Vaksin Selangor (SelVAX) Industri bantu pertingkat kadar vaksinasi dan proses inokulasi sektor industri negeri Selangor dan negara
Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang terbahagi kepada SelVAX Komuniti dan SelVAX Industri. Mesyuarat CITF Negeri Selangor pada 15 Jun 2021 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), telah bersetuju bahawa SelVAX diterima sebagai salah satu program sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
SELGATE Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat Kerajaan Negeri, telah dilantik pada 24 Februari 2021 untuk melaksanakan program SelVAX tersebut. Pada 1 Jun 2021, SELCARE Pharmacy Sdn Bhd (anak syarikat SELGATE) telah menandatangani Perjanjian Pembekalan dan Pengedaran dengan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd bagi perolehan 2,500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac.
SelVAX Industri mensasarkan untuk memvaksinasi 1,000,000 pekerja atau 2,000,000 dos vaksin serta terbuka kepada Syarikat/Industri untuk menyertai secara sukarela. Walaubagaimanapun, syarikat/industri harus membiayai kos bagi menyertai program SelVAX Industri ini untuk memvaksinasi para pekerja mereka.
Fasa awalan SelVAX Industri dilaksanakan sejak 26 Jun 2021 bagi memastikan sistem, pengurusan dan pentadbiran program dapat berjalan lancar. Syarikat/Industri yang mengambil bahagian di dalam SelVAX Industri tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
1. Terbuka kepada Syarikat/Industri dan bukan kepada Individu
2. Kos bagi keseluruhan sistem perkhidmatan, pengurusan dan pemberian vaksin ini perlu ditanggung oleh Syarikat/Majikan dan mereka tidak boleh mengenakan sebarang bayaran/caj kepada para pekerja mereka.
3. Kos keseluruhan program ini yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi syarikat/majikan adalah sebanyak RM350.00 bagi dua dos.
4. Syarikat/Majikan yang mengambil bahagian di dalam SelVAX Industri tidak dibenarkan untuk menjual semula slot janji temu yang telah mereka perolehi kepada syarikat/individu lain.
5. Vaksinasi hanya menerusi janji temu. 'Walk-in' tidak dibenarkan.
6. Menurut terma dan syarat program yang telah ditetapkan.
Jawatankuasa SelVAX Industri turut bersetuju untuk menetapkan beberapa fokus sektor industri dan syarikat yang akan diberi keutamaan untuk mengambil bahagian dalam program ini. Jawatankuasa SelVAX Industri pada mesyuarat berlangsung pada 2 Julai 2021 telah memutuskan perlaksanaan program SelVAX Industri hendaklah berdasarkan “Industry Oriented Ring Vaccination Strategy” (Strategi Vaksinasi Berorientasikan Industri Tersasar). Industri keperluan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan akan diutamakan dan kilang dan syarikat yang mempunyai pekerja yang paling ramai akan didahulukan tertakluk kepada proses penerimaan tawaran. Walau bagaimanapun, satu kategori PKS yang mempunyai pekerja tidak melebihi 200 orang juga akan dimulakan suntikan vaksin secara serentak.

Antara fokus utama program SelVAX Industri adalah:
1. Syarikat yang berdaftar dan/atau beroperasi di Negeri Selangor dan Lembah Kelang
2. Syarikat di dalam sektor/perniagaan perlu (diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara) seperti:
a. Air, elektrik dan tenaga
b. Kesihatan
c. Makanan dan minuman
d. Kilang bahan makanan, minuman dan keperluan asas harian
e. Veterinar dan keperluan makanan haiwan
f. Barangan keperluan harian atau kendiri (hardware)
g. Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
h. Pengangkutan – darat, air dan udara
i. Perkhidmatan dan pengusahaan Pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang
j. Hotel dan penginapan (bagi tujuan kuarantin)
k. Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal
l. Industri bahan api dan pelincir
m. Komunikasi (media, telekomunikasi dan internet)
n. Pembersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembentungan
o. E-dagang dan teknologi maklumat
p. Pembaikan kenderaan serta alat ganti berkaitan
q. Penjualan perkakasan, peralatan serta alat ganti
r. Perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan
s. Pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian bersifat kritikal
t. Perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan berkaitan u. Perundangan dan kehakiman
3. Syarikat dengan jumlah pekerja yang ramai.
SELCARE Clinic (anak syarikat SELGATE) penyedia perkhidmatan kesihatan yang akan melaksanakan program pemberian vaksin akan mengeluarkan sebutharga kepada syarikat-syarikat yang telah mendaftar minat. Syarikat yang telah membuat bayaran penuh akan memuat naik senarai pekerja ke dalam sistem dan akan diberi janji temu di salam Aplikasi SELangkah.
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah disediakan untuk program SelVAX Industri adalah seperti berikut:
1. Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara
2. Evo Mall, Bandar Baru Bangi
3. Hotel De Palma, Shah Alam
4. Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya
5. Aurora Place, Bukit Jalil
Pada masa sama, SelVAX Industri juga akan melaksanakan proses vaksinasi menerusi program vaksinasi tempat kerja (tertakluk kepada kesesuaian dewan/lokasi) dan juga menerusi klinik panel SELCARE di Selangor dan Lembah Kelang. Kapasiti kadar vaksinasi di kesemua lokasi ini boleh mencapai 40,000 dos sehari pada tahap maksimum. Lanjutan daripada fasa awalan yang telah dilaksanakan, fasa seterusnya bagi program SelVAX Industri ini akan dilaksanakan secara konsisten bermula 25 Julai 2021 dan dijangka berakhir pada penghujung Oktober 2021.
Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan syarikat/industri yang tersebut di atas untuk mendaftar minat melalui laman web https://vax.selangkah.my atau boleh berhubung pusat panggilan 1-800-22-6600.
Bagi pihak Jawatankuasa Program Vaksin Selangor (SelVAX) Industri;
YB DATO’ TENG CHANG KHIM
Exco Industri dan Perdagangan
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
YB PUAN RODZIAH BINTI ISMAIL
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor

