Umno enggan terhutang budi, masih ingat 'kena main' dalam politik perpaduan
Umno hari ini menegaskan pendirian parti itu tidak mahu terikat atau terhutang budi apatah lagi berharap dengan naungan parti lain untuk membina kembali kekuatan serta menarik sokongan Melayu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan secara terbuka bahkan menegaskan parti itu tidak boleh berharap kepada mana-mana parti lain termasuk PAS dan PN, selain PH yang sedang menjadi rakan kerjasama di peringkat pusat.
Sebaliknya, kata Mohamad, Umno mahu membina semula kekuatan parti dengan cara sendiri seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Umno tidak suka terhutang budi, apatah lagi berharap dengan naungan parti lain untuk kelangsungan sokongan Melayunya,” kata menteri luar itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.
Dia berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.
Hadir sama Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan Umno tidak boleh berharap kepada bantuan dan budi rakan politiknya kerana pengalaman lalu mengajar banyak parti berkenaan.
Dengan berbekalkan pengalaman itu, tambah Mohamad, Umno perlu memanfaatkannya untuk membina kekuatan yang padu serta ampuh dalam kalangan bangsa Melayu.
"Mengharapkan ihsan dan bantuan, bukan sesekali fikrah Umno," tegasnya.
Tak mahu diperbudak lagi
Kenyatan itu dibuat ketika hubungan Umno-BN dengan PH dilihat semakin renggang, dan pada masa sama mereka membina kerjasama mesra dan terbuka dengan PAS-PN.
PAS – yang kini menguasai PN – pula menghantar isyarat bahawa mereka bersedia menjalinkan hubungan baik serta melupakan persengketaan berdekad-dekad dengan Umno.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pula menghantar isyarat bahawa mereka sudah beberapa kali membantu Umno sama ada secara langsung atau tidak. Misalnya melalui percaturan semasa PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam muktamar yang berlangsung pada minggu lalu juga, Abdul Hadi mendakwa dia ditawarkan bantuan oleh AS untuk menjatuhkan Umno-BN yang ketika itu dipimpin Najib Razak.
/file/attachments/orphans/pew2_669797.jpeg)
Untuk rekod, di sebalik kerjasama atau persefahaman yang terjalin di Johor dan Negeri Sembilan, PAS-PN dan Umno-BN masih belum mencapai persetujuan mengenai percaturan masing-masing untuk PRN Melaka.
Menurut Mohamad fikrah Umno seharusnya memberi perlindungan dan naungan kepada bangsa Melayu dan tidak boleh bergantung kepada sesiapa atau mana-mana pihak khususnya DAP.
"Hayat Umno tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka," tambahnya lagi.
Sementara itu, menyentuh tentang kerjasama politik, Ahli Parlimen Rembau itu menambah, Umno terbuka kepada sebarang kerjasama, namun mengingatkan mereka pernah dikhianati dalam kerjasama tersebut.
Katanya, Umno menyambut dengan tangan terbuka terhadap sebarang kerjasama yang memanggagaskan kesatuan Melayu.
"Umno pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu Islam ini.
"Kita tidak akan lupa pengalaman pahit itu. Justeru Umno tidak akan membiarkan ia diperbudakkan lagi," katanya.
Bagaimanapun Mohamad tidak menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya.
/file/attachments/orphans/UMNOOnlinesdsd_337116.jpg)
